Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Berita Harian 02 april 2001

Cubaan 6,000 ahli KPPK pulau hari guru disiasat


KUALA LUMPUR, Ahad – Kementerian Pendidikan akan menyiasat tindakan kira-kira 6,000 ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) cawangan Melaka yang bercadang memulaukan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di negeri itu Mei depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Hon Choon Kim, berkata pihaknya akan meneliti perkara itu dan mencari punca sebenar mengapa mereka bercadang berbuat demikian.

“Kita akan menyiasat apakah masalah sebenar. Saya percaya masalah ini dapat diselesaikan melalui rundingan.

“Apa yang penting, KPPK perlu mengadakan perbincangan dan jika perlu berurusan secara terus dengan kementerian jika perkara itu tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan hampir 6,000 ahli KPPK cawangan Melaka yang bercadang memulaukan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di negeri itu, Mei depan.

Akhbar melaporkan tindakan berkenaan akan diambil sekiranya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) gagal menyelesaikan beberapa masalah guru di negeri itu.

Antara masalah itu ialah tuntutan bayaran kegiatan kokurikulum, tuntutan perjalanan pengetua dan guru besar, aktiviti sekolah diadakan pada cuti minggu pertama serta ketiga setiap bulan serta campur tangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam pentadbiran sekolah.

Masalah lain termasuk ada sekolah memulakan sesi pembelajaran mulai jam 7 pagi dan masa kegiatan kokurikulum digunakan untuk tujuan pengajaran serta pembelajaran.

Pengerusi KPPK cawangan Melaka, Mohd Ali Mohd Ibrahim, berkata masalah itu perlu diselesaikan JPN sebelum sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di negeri itu.

Mengenai dakwaan Mohd Ali bahawa JPN melakukan pembaziran apabila mengadakan perjumpaan pegawai dan pengetua di sebuah resort bulan lalu, Hon berkata, walaupun sikap berjimat cermat ditekankan, ia bukan bermakna mengadakan majlis di resort sebagai pembaziran.

“Kita kena mengkaji terlebih dulu sama ada perbelanjaan dikeluarkan JPN dikatakan membazir kerana tidak semestinya bayaran dikenakan tinggi berbanding hotel biasa,” katanya.

Beliau memberi jaminan pihaknya akan meneliti perkara itu sambil menasihatkan KPPK mengadakan perbincangan bagi meleraikan kekusutan pihaknya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum