Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 20 mac 2001

Nik Aziz tidak setuju sekolah satu aliran

KUALA LUMPUR 19 Mac - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah mewujudkan sekolah satu aliran kerana ia akan menyekat kaum Cina dan India daripada menguasai bahasa ibunda mereka.

``Islam menyebut bahawa bahasa itu nikmat daripada Tuhan. Berlainan bahasa dan kulit menandakan kebesaran Allah. Jadi perlu diberi peluang kepada tuan punya bahasa untuk guna bahasa mereka,'' ujarnya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu membenarkan kewujudan sekolah aliran Cina sebagai menghormati bahasa dan sastera kaum itu yang telah lama wujud.

``Kalau orang Cina sekat bahasa Melayu, kita rasa macam mana. Orang Cina begitu juga, dia ada sastera dia, bahkan sastera dia lebih tua daripada sastera dunia lain, '' katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan tokoh pendidik supaya kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran bagi meningkatkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Terdahulu Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Menteri Kanan Singapura, Lim Kuan Yew bahawa sistem pendidikan di Malaysia tidak membantu memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum.

Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor pula berkata, langkah mewujudkan sekolah satu aliran perlu dikaji secara mendalam bagi memastikan ia tidak memberi kesan negatif kepada negara pada jangka masa panjang.

``Jangan melakukan sesuatu perkara secara ad hoc, perlu ada kajian yang mendalam. Ini bukan untuk sehari dua atau setahun dua. Bila sesuatu dasar dilaksanakan ia memakan masa yang lama,'' tegasnya.

Tambah beliau, kerajaan boleh meneruskan hasrat mewujudkan sekolah satu aliran sekiranya Kementerian Pendidikan boleh menyiapkan satu laporan meyakinkan berdasarkan kajian mendalam.

Setiausaha Agung DAP,Kerk Kim Hock pula menggesa kerajaan mewujudkan satu dasar yang boleh menjadi alat untuk merapatkan hubungan antara kaum di negara ini jika ada.

Beliau berkata, cadangan mewujudkan sekolah satu aliran tidak akan membantu menyelesaikan isu hubungan kaum kerana telah terbukti negara-negara lain yang mengamalkan dasar seumpama itu tetap berhadapan dengan masalah tersebut.

Tegas Kerk, walaupun Malaysia melaksanakan sistem pendidikan yang liberal tetapi sehingga kini rakyat hidup dalam keadaan aman walaupun sesekali terjejas akibat isu yang berbau perkauman.

Ditanya sikap DAP yang menentang penubuhan Sekolah Wawasan sedangkan ia dirancang oleh kerajaan untuk tujuan perpaduan kaum, katanya, komuniti Cina masih bimbang identiti sekolah jenis kebangsaan akan terhapus.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, jika sekolah satu aliran hendak dilaksanakan sistem pembelajarannya mestilah mengambil kira kedudukan bahasa ibunda kaum-kaum tertentu sebagai bahasa yang penting untuk dipelajari di sekolah.

``Sebelum ini soal bahasa ibunda tidak diambil kira sekarang kita mahu jika sekolah satu aliran hendak diadakan faktor itu mestilah diberi perhatian serius,'' katanya lagi.

Menurutnya, isu pergaduhan di Jalan Klang Lama tidak harus dikaitkan dengan penubuhan sekolah satu aliran kerana ia melibatkan masalah ekonomi dan kemiskinan bukannya tentang pembelajaran di sekolah.

Penubuhan sekolah satu aliran katanya, perlu dibincangkan secara serius kerana ia boleh menimbulkan pelbagai implikasi terhadap penduduk berbilang bangsa di negara ini.

Naib Presiden MCA,Datuk Dr. Fong Chan Onn pula berkata, MCA mencadangkan supaya sistem pendidikan yang ada sekarang dikekalkan dan tidak diganti dengan sekolah satu aliran.

Bagaimanapun beliau berpendapat adalah lebih baik jika sekolah-sekolah kebangsaan serta sekolah-sekolah jenis kebangsaan dibina berhampiran bagi menggalakkan interaksi di antara pelajar.

``Kemudiannya kita boleh rancang program-program seperti hari keluarga dan sukan secara bersama supaya mereka boleh berinteraksi antara satu sama lain,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum