Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 21 mac 2001

SRJKC Damansara bukan milik peribadi - Musa

KUALA LUMPUR 20 Mac - Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad hari ini menjelaskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Damansara adalah sekolah kerajaan yang dibina oleh kerajaan di atas tapak kerajaan.

Beliau berkata, walaupun ibu bapa murid sekolah berkenaan dan penduduk sekitar telah memberi sumbangan kepada pembinaan bangunan tambahan, ia tidak mengubah status sekolah itu sebagai sekolah kerajaan.

``Memang benar ibu bapa murid dan penduduk telah menyumbang kepada pembinaan bangunan tambahan seperti juga sekolah-sekolah lain tetapi ini tidak mengubah status sekolah itu sebagai sekolah kepunyaan kerajaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Kerk Kim Hock (DAP-Kota Melaka) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Musa, ibu bapa baki 74 murid sekolah itu yang enggan berpindah sementara ke SJKC Puay Chai 2 mendakwa bangunan sekolah lama itu adalah milik penduduk kampung dan menuntut supaya ia dibuka semula.

Keadaan itu, jelas beliau turut bertentangan dengan persetujuan Lembaga Pengurusan, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta guru besar sekolah berkenaan untuk memindahkan murid-murid ke SJKC Puay Chai 2 walaupun mereka sedar mengenai syarat bahawa bangunan sekolah lama akan ditutup.

Musa secara panjang lebar menjelaskan kepada ahli-ahli Dewan mengenai kronologi perpindahan murid-murid sekolah berkenaan ke sekolah sementara sehingga menimbulkan kontroversi ketika bermulanya sesi persekolahan awal tahun ini.

Beliau berkata, perpindahan itu adalah atas permintaan dan persetujuan ibu bapa, guru dan guru besar sekolah berkenaan yang telah menulis surat kepada Pegawai Pendidikan Daerah Petaling pada 16 Julai 1999.

Jelas Musa, permohonan yang disertakan dengan empat alasan itu telah dikaji dengan teliti oleh Jabatan Pendidikan Selangor berasaskan syarat biasa iaitu perpindahan hanya boleh diluluskan apabila bangunan lama sekolah tidak lagi sesuai untuk persekolahan.

Perpindahan sesebuah sekolah juga, katanya, tidak harus mengakibatkan pembukaan sekolah tambahan, berbeza dengan kelulusan menubuhkan sekolah baru yang tidak melibatkan perpindahan di mana sekolah lama boleh terus beroperasi.

Menurut Musa, setelah permohonan itu diluluskan pada 4 April tahun lalu, pihak sekolah pada 24 April 2000 merayu agar proses perpindahan dipercepatkan pada awal 2001.

Beliau kemudian memetik surat rayuan itu yang berbunyi:

``Projek secara besar-besaran yang dijalankan berdekatan sekolah telah mengakibatkan saluran paip utama yang mengalirkan air dari bilik air sekolah ini tersumbat. Keadaan ini seterusnya menyebabkan tandas di bilik air tersumbat dan najis melimpah.''

Katanya, selepas satu mesyuarat antara pihak Jabatan Pendidikan dan PIBG SJKC Damansara serta SJKC Puay Chai 2. Semua pihak bersetuju murid-murid dipindahkan sementara ke SJKC Puay Chai sementara menunggu bangunan tetap siap.

Keputusan itu, tegas beliau adalah atas nasihat dan persetujuan kesemua pihak yang terlibat dan mereka sedar dengan syarat bangunan lama perlu ditutup.

Sementara itu pada sidang akhbar di lobi Parlimen, Musa memberitahu, baki 74 murid yang enggan berpindah terpaksa mengemukakan permohonan ke Jabatan Pendidikan Selangor jika masih ingin meneruskan persekolahan.

Katanya, pihak jabatan tidak akan menolak permohonan mereka serta tidak menolak kemungkinan murid-murid berkenaan akan ditempatkan di sekolah lain.

``Tidak ada konsep menolak permohonan mana-mana murid sekalipun mereka pernah melanggar tatasusila tetapi mereka perlu bersedia ditempatkan di sekolah lain,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum