Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 21 mac 2001

SEKOLAH KEBANGSAAN UNTUK SEMUA KAUM

IBU bapa di Malaysia boleh memilih sama ada mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan.

Sistem satu aliran pendidikan sudah wujud melalui sekolah kebangsaan. Cumanya, tidak ada paksaan kepada mana-mana ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Jika mereka memilih sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil, maka tidak ada siapa yang boleh menghalang mereka.

Namun begitu, sekolah kebangsaan merupakan institusi pendidikan utama bagi anak-anak Malaysia untuk memenuhi aspirasi dan memiliki identiti nasional.

Bagi rakyat yang peka dengan aspirasi dan identiti nasional, sudah tentu sekolah kebangsaan menjadi institusi yang menjadi saluran pendidikan anak-anak mereka.

Tetapi apa yang kita lihat sekarang, ketika mana kebanyakan anak-anak Melayu belajar di sekolah kebangsaan, terdapat ramai ibu bapa daripada kalangan kaum Cina dan India lebih berminat menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan bahasa ibunda masing-masing.

Perkara ini tidak menjadi suatu gejala negatif sekiranya bilangan ibu bapa kaum Cina dan India yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan adalah sedikit.

Tetapi apa yang berlaku ialah terdapat kecenderungan di mana ibu bapa kaum Cina akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaaan Cina dengan menganggap sekolah kebangsaan hanya sesuai untuk murid-murid Melayu.

Anggapan ini salah kerana sekolah kebangsaan merupakan aliran utama pendidikan untuk semua warganegara Malaysia tanpa mengira kaum.

Jika pengasingan pendidikan menurut kaum ini berterusan, akhirnya ia akan menghasilkan satu masyarakat Malaysia yang terpisah di antara satu sama lain, mengakibatkan satu suasana segregasi dengan memiliki bibit-bibit perpecahan berbahaya.

Dengan tidak memiliki satu sentimen nasional, maka perpaduan kental yang diimpikan sukar dicapai. Kita percaya pemimpin-pemimpin yang menggubal sistem ini dahulu membayangkan bahawa setelah beberapa generasi, akhirnya kebanyakan warganegara Malaysia akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Tetapi, setelah 43 tahun pembentukan negara kita, sekolah kebangsaan tidak muncul sebagai pilihan utama kebanyakan rakyat bukan Melayu.

Apabila ditinjau, kita dapat mengesan hujah-hujah mengapa ibu bapa kaum Cina tidak gemar menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Antaranya ialah keraguan tentang mutu pendidikan di sekolah kebangsaan berbanding dengan sekolah jenis kebangsaan Cina. Khususnya dalam bidang Matematik.

Selain itu, di kalangan ibu bapa Cina, mereka juga beranggapan bahawa masa depan anak-anak mereka terletak dalam dunia perniagaan yang di negara ini dikuasai oleh orang Cina. Maka sudah tentu kelebihan dalam penguasaan bahasa Mandarin dan kecekapan menghitung menjadi aset penting anak-anak mereka untuk berjaya.

Ditambah pula dengan anggapan bahawa budaya serta nilai yang berasaskan tradisi tanah besar China akan membantu mereka berjaya dalam bidang komersial.

Dengan mengutamakan soal masa depan anak-anak mereka berbanding dengan perkara-perkara patriotisme atau aspirasi nasional, maka ternyata sekolah kebangsaan tidak begitu menarik bagi golongan ini.

Memburukkan lagi keadaan ialah suasana sekolah kebangsaan yang tidak mencerminkan masyarakat berbilang kaum. Amalan-amalan yang mengutamakan imej Islam daripada aspirasi nasional menjauhkan lagi minat kalangan ibu bapa bukan Melayu untuk menghantar anak mereka ke situ.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum