Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 22 mac 2001

Kerajaan disyor tubuh jabatan baru urus pinjaman pendidikan

KUALA LUMPUR 21 Mac - Kementerian Pendidikan dicadang menubuhkan sebuah jabatan baru bagi mengurus urusan pinjaman pendidikan pelajar.

Jabatan baru itu berperanan mengambil alih semua urusan yang kini dijalankan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presiden Blok Disiplin, Jawatankuasa Perwakilan Kolej Perindu, Universiti Teknologi Mara, Mohd. Sufian Mohd. Mustapha berkata, penubuhan jabatan baru itu sekali gus akan menyelesaikan kontroversi bayaran perkhidmatan PTPTN sebanyak empat peratus yang dikenakan kepada pelajar.

Katanya, semua urusan permohonan, pinjaman dan pembayaran balik akan diuruskan oleh jabatan itu.

Jelas beliau, ia tentunya tidak akan melibatkan bayaran perkhidmatan memandangkan jabatan itu diletak sepenuhnya di bawah kementerian.

Beliau berkata, konsep jabatan itu sama seperti jabatan-jabatan lain di kementerian, seperti Jabatan Pendidikan Tinggi yang berperanan mengurus kemasukan pelajar baru ke institusi pengajian tinggi.

``Mungkin jabatan itu boleh dikenali sebagai Jabatan Pinjaman Pelajar,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas syor ahli akademik dan pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi awam yang meminta PTPTN menghapuskan bayaran perkhidmatan empat peratus.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bayaran perkhidmatan itu memberi kesan kepada psikologi pelajar sehingga menjejaskan pencapaian akademik mereka.

Menurutnya, sejak awal pengajian, pelajar telah diberitahu bahawa mereka perlu menjelaskan hutang pinjaman yang lebih tinggi daripada jumlah yang dipinjam.

Kesan daripada itu, katanya, pelajar berasa terganggu dan tertekan kerana kerap memikirkan bagaimana hutang itu boleh dijelaskan jika tidak mendapat kerja.

``Belum tentu pelajar mendapat kerja apabila tamat pengajian, apatah lagi masih terdapat lebih 30,000 graduan menganggur pada masa ini.

``Semua itu menyesakkan fikiran pelajar sehingga akhirnya mereka belajar sambil lewa kerana cemerlang atau tidak cemerlang, mereka tetap membayar lebih daripada jumlah yang dipinjam,'' katanya.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia, Che Zakaria Che Ali pula berkata, pihaknya telah menghantar memorandum bantahan penetapan kadar faedah empat peratus itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 23 Februari lalu tetapi sehingga hari ini, maklum balas mengenainya belum diterima.

Katanya, antara isi kandungan memorandum ialah bayaran perkhidmatan itu membebankan pelajar kerana gaji asas pekerja baru di sesebuah syarikat, sektor awam atau swasta adalah rendah tetapi pada masa yang sama, mereka perlu menanggung bebanan kewangan lain seperti saraan keluarga.

Jelasnya, ia bukan sahaja menyusahkan malah membantutkan hasrat pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.

``Kadar empat peratus itu juga tidak setimpal dengan perkhidmatan pengurusan yang disediakan oleh PTPTN manakala soal riba menyebabkan pelajar Islam merasa tertekan,'' katanya.

Sementara itu, Presiden MPP Universiti Malaya, Mohamad Fuad Mohd. Ikhwan berkata, bayaran empat peratus menunjukkan kerajaan mengabaikan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membiayai pinjaman atau biasiswa pelajar.

``Jadi kerajaan tidak boleh berkira sangat dalam soal itu kerana pendidikan tinggi adalah satu pelaburan yang baik untuk masa depan negara,'' ujarnya.

Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdullah Abdul Karim pula berkata, pelajar yang memohon pinjaman adalah pelajar kurang mampu dan tentunya bayaran perkhidmatan itu amat membebankan mereka.

Menurutnya, jika tujuan PTPTN untuk membantu pelajar, maka bayaran itu tidak harus dikenakan.

``Saya melihat PTPTN menjadikan bayaran perkhidmatan itu sebagai medan untuk mengaut keuntungan,'' katanya.

Oleh: ROHANA MAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum