Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 19 mac 2001

Pengorbanan perlu demi perpaduan berpanjangan

BERSEDIAKAH kita untuk mewujudkan sekolah satu aliran demi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini?

Jika ya, banyak pengorbanan besar yang perlu dilakukan oleh kaum-kaum yang terdapat di negara ini untuk merealisasikannya.

Pengorbanan paling besar ialah mengikis terus rasa `superior' sesuatu kaum ke atas kaum yang lain.

Mungkin berat untuk melakukan pengorbanan ini tetapi negara tidak mempunyai pilihan lain lagi sekarang jika benar-benar mahu melihat keharmonian yang berpanjangan.

Sikap berlembut dan tolak ansur pemimpin-pemimpin di awal kemerdekaan dalam pembentukan dasar dan ciri pendidikan negara sehingga menjadikan terpisah-pisah, perlu dibetulkan.

Masa untuk bertindak masih belum terlambat dan ruang penyelesaian sentiasa terbuka luas.

Demi menghormati perpaduan kaum yang masih unggul di negara ini, adalah penting untuk memberi keyakinan kepada semua kaum bahawa sekolah satu aliran tidak akan melenyapkan terus identiti sesuatu kaum.

Walaupun menggunakan bahasa pengantar yang sama iaitu Bahasa Melayu, konsep sekolah sealiran ini perlu juga meneruskan pengajaran bahasa ibunda, kebudayaan dan sejarah pelbagai kaum.

Ini penting kerana dalam menuju ke arah satu bangsa iaitu bangsa Malaysia, kefahaman tentang budaya dan sejarah ini adalah aset untuk sesuatu kaum memahami kaum yang lain.

Tentunya, jangka masa 12 tahun bergaul, belajar dan bermain bersama bermula seawal usia tujuh tahun hingga peringkat awal dewasa iaitu ketika berumur 17 tahun, mampu memupuk perpaduan di kalangan generasi akan datang.

Jalinan erat perpaduan di peringkat sekolah ini pastinya sukar dileraikan dengan mudah apabila mereka meneruskan pengajian di peringkat tertinggi, berkarier dan menjalani kehidupan seharian dalam masyarakat majmuk.

Begitupun, memanglah ada kesukaran yang bakal dihadapi jika mahu melihat konsep sekolah satu aliran ini menjadi kenyataan.

Ini kerana pendidikan bukanlah isu remeh dan mudah yang boleh diselesaikan dalam sekelip mata.

Ia mencakupi pelbagai aspek meliputi kebudayaan, sosioekonomi, politik dan sejarah.

Keadaan ini menjadikan pendidikan sebagai isu paling sensitif untuk disentuh.

Bagaimanapun, soal sensitiviti ini perlu diketepikan kerana yang lebih penting sekarang ialah perpaduan.

Demi kebaikan bersama, jika langkah drastik perlu diambil maka lakukanlah termasuk menerusi kemahuan politik.

Politik adalah kuasa yang paling layak digunakan untuk menyuraikan kekusutan isu penting ini.

Sekolah Wawasan yang mendapat tentangan daripada masyarakat Cina yang takutkan kehilangan identiti kaum mereka, akhirnya terpaksa tunduk kepada kuasa politik.

Bagaimanapun dalam masa usaha sedang digerakkan untuk mewujudkan konsep sekolah satu aliran ini, pihak-pihak yang berkaitan perlu bersiap sedia untuk merangka sistem pendidikan lepasan sekolah yang juga semestinya menjurus ke arah pengukuhan perpaduan.

Ini kerana walaupun 17 tahun bersama-sama di bawah satu pendidikan yang sealiran, kemungkinan ikatan perpaduan itu akan tercabar apabila mereka memasuki alam dewasa dan pendidikan tinggi tidak boleh ditolak.

Antaranya, penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang lebih gemar menawarkan program-program berkembar dengan universiti luar negara yang tidak langsung mempunyai unsur-unsur pembinaan jati diri bangsa Malaysia perlu dilihat kembali.

Kurikulum dan kiblatnya adalah negara luar.

Penubuhan IPTA atau IPTS yang menjurus kepada kepentingan sesuatu kaum juga perlu difikirkan kembali.

Membetulkan hanya di peringkat sekolah dengan mewujudkan satu aliran pendidikan tidak akan mengubah apa-apa jika lepasan sekolah ini memasuki sistem sosial yang tidak sealiran dan dibeza-bezakan berdasarkan kaum selepas itu.

Oleh: ZALINA YAHAYA

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum