Make your own free website on Tripod.com
Macworld Magazine

PENDIDIKAN

Berita Harian 20 mac 2001

Sekolah Wawasan, rancangan integrasi perlu dilaksana: Musa



KUALA LUMPUR, Isnin – Sekolah Wawasan dan rancangan integrasi antara sekolah perlu dilaksanakan kerana kedua-duanya adalah kaedah terbaik bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini.

Menterinya Tan Sri Musa Mohamad, berkata walaupun setiap kaum ingin menetapkan aliran persekolahan masing-masing kerana mahu mengekalkan budaya, sentimen dan identiti, mereka juga harus mementingkan perpaduan kaum.

“Tak salah kalau nak mengekalkan budaya, sentimen dan identiti kaum, tetapi mereka juga harus mementingkan perpaduan.

“Mengekalkan identiti dan budaya kaum saja mungkin tidak akan mewujudkan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara perasmian Persidangan Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan beberapa parti komponen Barisan Nasiona, khususnya MCA, MIC dan Gerakan, semalam yang mempertahankan sistem pendidikan pelbagai aliran.

Musa berkata, konsep Sekolah Wawasan dan rancangan integrasi sekolah diperkenalkan kerana kerajaan mahu merapatkan hubungan antara tiga kaum terbesar di negara ini, Melayu, Cina dan India.

Ditanya sama ada usaha merapatkan hubungan itu sudah mencukupi di peringkat sekolah menengah, Musa berkata apa yang penting ialah bibit-bibit perpaduan diwujudkan mulai peringkat rendah.

“Jika bibit itu hanya berlaku di sekolah menengah, iaitu ketika pelajar sudah berumur lebih 12 tahun, sukar sekali bagi kita nak wujudkan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, melalui sistem pendidikan sekarang, hampir keseluruhan sekolah menengah melaksanakan sistem satu aliran kecuali segelintir kecil sekolah Cina.

Bagaimanapun, katanya, kerana generasi kini sudah terdedah kepada perpisahan selama 12 tahun sebelum masuk tingkatan satu, kurang kefahaman antara satu sama lain wujud sejak mereka kecil.

“Sekolah satu aliran, jika dapat dilaksanakan adalah jalan terbaik. Tetapi soalnya sama ada ia boleh dilaksanakan dalam keadaan di mana tiap-tiap kaum mempunyai kepentingan masing-masing.

Beliau meminta pihak berkenaan mendekati konsep itu dan menerimanya sebagai satu jalan terbaik untuk perpaduan dalam konteks sekarang.

Ditanya sama ada kementerian sanggup mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang tidak berpuas hati, Musa berkata beliau sentiasa terbuka dalam perkara itu.

“Saya sedia terima apa juga cadangan untuk menentukan konsep ini berjalan dengan baik. Malah, selama ini pun, dalam kemelutan isu sekolah wawasan dan rancangan integrasi, kementerian memang bersikap terbuka,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi