Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 19 mac 2001

SEKOLAH SATU ALIRAN SEMAKIN PENTING

TIDAK seperti kenyataan-kenyataan yang lain, kenyataan Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew berhubung sistem pendidikan Malaysia yang gagal mengukuhkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum di negara ini, mendapat reaksi positif termasuk daripada Kementerian Pendidikan.

Menurut Kuan Yew, sistem pendidikan di Malaysia termasuk penghantaran pelajar ke sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menjurus kepada perkauman sehingga sukar bagi kerajaan memupuk perpaduan sebenar.

Jika pun tanpa kenyataan sedemikian daripada Kuan Yew, itulah realiti yang melanda sistem pendidikan negara ini khususnya di peringkat persekolahan kerana masih dibelenggu dengan aliran Cina dan Tamil, selain aliran kebangsaan.

Sebab itulah, Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad bersetuju dengan pandangan Kuan Yew - tokoh yang telah memajukan negara jiran pelbagai kaum itu dengan strategi tertentu antaranya kecemerlangan pendidikan tetapi berteraskan perpaduan menerusi persekolahan satu aliran.

Malaysia merupakan negara `unik' kerana mengamalkan aliran yang berbeza di peringkat asas pendidikan di sebalik sifatnya sebagai negara majmuk, yang sepatutnya menjurus kepada satu aliran sahaja.

Selama ini, kelemahan berhubung pelaksanaan pelbagai aliran ini cukup disedari akan implikasinya kepada pencapaian sebenar perpaduan tetapi dipendamkan kerana sentimen kaum yang tebal dalam sistem persekolahan.

Sebaliknya, yang lebih ditonjolkan ialah pencapaian perpaduan bersifat luaran seperti amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka semasa perayaan sambil meminggirkan keperluan perpaduan bersifat lebih sejati.

Ternyata, beberapa pergaduhan dan ketegangan kaum bermula dari peristiwa 13 Mei 1969, peristiwa Masjid Kampung Rawa-kuil Raja Mathuraiveeran pada 1998 dan terbaru di Jalan Klang Lama merupakan isyarat mencemaskan betapa perpaduan rakyat pelbagai kaum begitu rapuh, sambil menuntut postmortem terbesar.

Maka antara perkara yang memerlukan penilaian semula ialah keperluan mewujudkan persekolahan satu aliran dan gagasan ini nampaknya mendapat sokongan tokoh-tokoh pendidikan.

Langkah Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan Sekolah Wawasan sebelum ini merupakan antara langkah untuk mengatasi kelemahan yang ada dalam konteks perpaduan di peringkat seawal usia persekolahan.

Malangnya, usaha tersebut mendapat tentangan dan sukar dilaksanakan disebabkan ketaksuban kepada sekolah aliran mengikut kaum, berpunca daripada `kesilapan percaturan pendidikan negara' sejak di awal kemerdekaan lagi.

Pada hal, Sekolah Wawasan itu sendiri bukanlah jawapan sebenar kepada tuntutan perpaduan sebaliknya yang amat diperlukan ialah persekolahan satu aliran kerana ia persekitaran terbaik bagi membolehkan pergaulan berlaku di dalam kelas dan sekolah itu sendiri.

Oleh itu, belum terlewat untuk Kementerian Pendidikan merencanakan pelaksanaan sistem persekolahan satu aliran tetapi ia akan menghadapi cabaran besar kerana sebahagian kita masih gagal meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan kaum. Tetapi masyarakat dan parti-parti politik pelbagai kaum tidak punya pilihan kerana tanpa perpaduan sejati khususnya di peringkat generasi muda, ruang untuk perseteruan kaum tetap terbuka luas dan mungkin akan memuncak. Ketika itu nanti, segala congak keuntungan kaum akan berakhir jua dan mungkin sudah terlewat untuk sealiran dalam apa sahaja.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum