Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 04 april 2001

TPM temui pemimpin pelajar bincang penubuhan MPPK

PUTRAJAYA 3 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini, mengadakan pertemuan dengan para pemimpin pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi menubuhkan jawatankuasa protem Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat peringkat awalan itu membincangkan susunan dan struktur organisasi MPPK, objektif serta isu-isu yang bakal dibincangkan kelak.

Menurut beliau, kerajaan mencadangkan mesyuarat penuh MPPK diadakan sebanyak tiga kali setahun dan mesyuarat itu pula hanya boleh diadakan setelah semua butiran itu dipersetujui.

``Hasil daripada mesyuarat MPPK itu boleh kita sampaikan kepada kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM).

``Ini supaya kementerian dan agensi kerajaan terlibat serta kabinet boleh mengkaji cadangan dan pandangan MPPK itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin pelajar daripada 19 IPTA selama hampir dua jam di pejabatnya, di sini.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad.

Mengenai isu-isu yang akan dibincangkan, Abdullah berkata, isu-isu tersebut akan ditentukan bersama oleh MPPK dan sekretariat pejabat TPM.

Ditanya mengenai isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dipertikai kerana kos perkhidmatan sebanyak 4 peratus, Abdullah berkata, perkara itu tidak dibincangkan.

``Kita belum dapat membincangkan hal itu kerana belum bersidang.

``Walau bagaimanapun, saya dan Tan Sri Musa (Mohamad) sudah menerima memorandum terbaru daripada perwakilan hari ini,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Ahmad Fadhly Yusof berkata, pihaknya menyifatkan cadangan kerajaan untuk membentuk MPPK itu sebagai positif.

Katanya, usaha untuk mencari saluran bagi menyuarakan pandangan mahasiswa kepada kerajaan telah dilakukan sejak dua tahun oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya.

Mengenai mesyuarat itu, beliau berkata, kerajaan membentangkan format MPPK termasuk cadangan membenarkan setiap universiti diwakili empat pemimpin pelajarnya untuk menganggotai majlis itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum