Make your own free website on Tripod.com
Macworld Magazine

PENDIDIKAN

Berita Minggu 07 april 2001

Pengasas UKM syor tangguh penstrukturan status JPM


KUALA LUMPUR: Prof Datuk Dr Zainal Abidin Wahid, salah seorang pengasas penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan, penukaran status Jabatan Persuratan Melayu (JPM) kepada Program Pengajian Melayu (PPM) ditangguhkan bagi membolehkan semua pihak menilainya secara objektif dan ilmiah.

Beliau berkata, sebarang proses perubahan hendaklah dijalankan dengan telus dan membabitkan kerjasama pentadbir universiti supaya tidak timbul salah faham dan bantahan berlarutan.

“Saya dapat tahu ada banyak pihak tidak berpuas hati dengan langkah itu, termasuk pensyarah. Jadi isu itu perlu diselesaikan secara bijaksana oleh pentadbir UKM.

“Saya kira apa salahnya kita tangguh dua tiga bulan lagi. Saya rasa ia tidak mengganggu pelajaran atau kemasukan pelajar kerana ia (JPM) sememangnya sedang berjalan sekarang.

“Cuma, proses penstrukturan semula itu nampak tidak begitu jelas, tidak telus dan tak nampak di mata,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan mesyuarat Senat UKM dipengerusikan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Anuwar Ali, pada 21 Mac lalu yang memutuskan untuk menggabungkan tiga fakulti - Sains Sosial dan Kemanusiaan, Sains Pembangunan; dan Fakulti Pengajian Bahasa.

Menerusi penstrukturan itu, UKM mewujudkan lima pusat pengajian dengan menjadikan JPM kepada PPM yang diletakkan dalam program pengajian bahasa, budaya dan sastera.

Bagaimanapun, ia mencetuskan kontroversi apabila pensyarah JPM membantah keputusan itu yang dianggap merendahkan status jabatan berkenaan.

Dr Zainal Abidin, 68, antara kumpulan enam pemikir, perintis dan pejuang penubuhan UKM bermula 1967.

Bersamanya ialah Prof Tengku Shamsul Baharin, Prof Abu Bakar Abdul Hamid, Dr Syed Hussein Ali, Datuk Mohamad Zin Majid dan Datuk Dr Ghazali Abdul Rahman.

Mereka bertanggungjawab menyediakan kertas kerja yang memperincikan mengenai tujuan penubuhan, kurikulum dan latihan tenaga pengajar UKM.

Dr Zainal Abidin pernah berkhidmat sebagai Profesor Sejarah, Jabatan Sejarah UKM 1970-1991 dan Pengarah, Pusat Kajian Borneo, UKM, 1991-1993. Beliau masih menyandang jawatan Profesor Razak, Kajian Asia Tenggara, Ohio University, Amerika Syarikat, sejak 1991.

Dr Zainal Abidin mengakui pandangannya itu mungkin tidak tepat kerana ia hanya berdasarkan kepada laporan akhbar dan media massa sejak lebih dua minggu lalu.

Ditanya perasaannya apabila perubahan JPM yang menjadi teras UKM pada zaman awal kewujudannya, beliau berkata: “Mereka mungkin tidak ada keperluan untuk mendapatkan pandangan kami. Hapus memang senang, tapi nak buat balik itu amat sukar.”

Beliau berkata, sepatutnya pengajian bahasa dan sastera Melayu di dalam negara harus diperkembangkan lagi, bukan diperkecil atau dikurangkan.

“Di tengah dilema di antara kepentingan bahasa Inggeris dan kedudukan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), sepatutnya pengajian Melayu terus dipertahankan.

“Apa yang saya lihat adakah langkah memperkasa JPM menjadi PPM diterjemahkan dengan pengecilan 51 kursus kepada 14 kursus.

“Jika begini dipadatkan, saya khuatir mesti ada bidang yang tercicir,” katanya.

Mengenai rasional menukar JPM kepada PPM supaya skop pengajiannya meliputi soal globalisasi dan survival orang Melayu, beliau berkata, sudut pengajian itu sudah dilaksanakan sejak penubuhan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma).

Beliau turut mempersoalkan mengenai masa depan dan kedudukan tenaga pengajar di jabatan itu apabila jumlah kursus diperkecilkan.

“Mereka kata tidak berlaku perberhentian tenaga kerja. Tapi, kalau kursus pengajian sudah dikurangkan, mesti ada yang tercicir.

“Bagi saya biarlah telus. Apakah ini soal pentadbiran saja, soal ilmiah atau soal belanja.

“Kalau kita sudah payah buka pengajian Melayu di Lyden, Holland untuk mengembangkan bahasa dan sastera Melayu di dunia, sedihnya ia tidak berlaku di dalam negara sendiri,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis pelancaran Persidangan Agenda Melayu dan Perpaduan Kebangsaan di Institut Penataran Ilmu, di sini semalam, Dr Zainal Abidin berkata, folklore Melayu sangat penting untuk pengembangan dan kekuatan jati diri Melayu.

“Jadi, dalam kes UKM, kalau nak kata folklore itu tidak penting, ia salah. Kita lihat dalam Hikayat Hang Tuah menyebut sewaktu Sultan Melaka melawat Tanah Besar Cina, rombongan baginda tidak dibenar melihat wajah Maharaja China.

“Tapi, Hang Tuah mencadangkan supaya kangkung yang tidak dipotong dijadikan hidangan sebagai muslihat untuk melihat wajah mahajara itu.

“Jadi maksudnya ialah folklore Melayu mengajar pelajar Melayu kekuatan dalam cerita lagenda tua untuk dimanfaatkan dalam kehidupan sekarang ini,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi