Make your own free website on Tripod.com
Macworld Magazine

PENDIDIKAN

Berita Harian 10 april 2001

Pentadbir UKM didakwa sembunyi fakta


KUALA LUMPUR, Isnin – Pentadbiran akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa cuba menyembunyikan fakta berhubung penstrukturan semula Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK).

Sumber memberitahu Berita Harian, pekeliling dari Pejabat Dekan FSKK bertarikh 22 Mac 2001 berhubung keputusan mesyuarat Senat UKM Ke-293 mengenai penstrukturan semula FSKK, mengemukakan maklumat yang berbeza.

“Pekeliling yang diberi kepada sembilan ketua jabatan hanya menjelaskan keputusan Senat UKM memutuskan lima pusat yang akan bernaung di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) menggantikan FSKK,” katanya.

Lima pusat itu ialah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Pusat Pengajian Bahasa, Budaya dan Sastera, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia serta Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi

Mereka yang menerima pekeliling tidak lengkap itu ialah Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Ketua Jabatan Geografi, Ketua Jabatan Komunikasi, Ketua Jabatan Persuratan Melayu, Ketua Jabatan Psikologi, Ketua Jabatan Linguistik, Ketua Jabatan Sains Politik dan Penyelaras Pengajian Strategi dan Keselamatan.

Sumber itu berkata, pekeliling yang sama juga diedarkan kepada 16 penerima iaitu dekan, timbalan dekan dan ketua bahagian tetapi dengan maklumat tambahan yang tidak dimasukkan dalam pekeliling kepada sembilan ketua jabatan.

“Maklumat tambahan yang disorokkan daripada pengetahuan sembilan ketua jabatan itu ialah mengenai keputusan Senat UKM yang berhasrat membentuk Pusat Pengembangan Bahasa,” katanya.

Pekeliling berkenaan diberikan kepada Fakulti Pengajian Bahasa, Fakulti Sains Pembangunan, Pusat Pembangunan Akademik, Timbalan Dekan (Pentadbiran) FSKK, Timbalan Dekan (Akademik) FSKK, Fakulti Sains Sosial, Ketua Jabatan Komunikasi, Ketua Jabatan Geografi, Ketua Jabatan Pengajian Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Pengerusi Unit Kajian Falsafah dan Peradaban, Pengerusi Unit Kajian Reruang, Jabatan Geografi, Jabatan Psikologi, Jabatan Sejarah dan Ketua Jabatan Pengajian Bahasa Asing.

Berita Harian diberitahu, pekeliling FSKK yang menyembunyikan maklumat mengenai keputusan Senat UKM memutuskan pembentukan Pusat Pengembangan Bahasa itu ditandatangani Dekan FSKK, Prof Dr Shamsudin A Rahim.

Prof Shamsudin juga menandatangani pekeliling dengan maklumat tambahan yang diedarkan kepada 16 kakitangan UKM, tetapi menggunakan jawatan Dekan Menanti FSSK dan bukannya Dekan FSKK.

Sumber itu memberitahu, mereka hanya menyedari ada percubaan menyorokkan fakta mengenai pembentukan Pusat Pengembangan Bahasa apabila tenaga akademik hadir dalam mesyuarat penstrukturan semula pada 6 April lalu.

“Kami tidak nampak ketelusan pentadbiran akademik UKM dalam perkara ini sehingga mereka sanggup menyembunyikan maklumat daripada sesetengah kakitangan sekalipun kami terbabit dalam penstrukturan FSKK kepada FSSK,” katanya.

Mesyuarat penstrukturan semula yang dihadiri 200 kakitangan akademik dari tiga fakulti yang digabungkan di bawah FSSK, Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Sains Pembangunan dan Pengajian Bahasa selama dua jam, berlangsung dalam keadaan tegang apabila Prof Shamsudin dan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal-Akademik), Prof Datuk Abdul Samad Hadi, tidak dapat memberi penjelasan.

Sumber berkata, mesyuarat yang sepatutnya adalah taklimat untuk kakitangan akademik ketiga-tiga fakulti dalam penstruktruan semula FSKK itu semakin mengelirukan apabila Prof Abdul Samad mengumumkan ada ‘5+1’ pusat pengajian.

“Apa yang cuba dilakukan dengan pengumuman `5+1' pusat sedangkan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Anuwar Ali, dalam sidang akhbarnya menjelaskan penstrukturan semula FSKK kepada FSSK hanya dengan lima pusat saja,” ujarnya.

Berita Harian difahamkan, keputusan mengadakan ‘5+1’ pusat dalam mesyuarat Jumaat lalu tidak mendapat restu Senat UKM kerana sehingga berita ini ditulis, tidak ada Mesyuarat Khas Senat yang diadakan.

“Sebarang keputusan untuk mengubahkan keputusan Senat UKM yang diputuskan pada 21 Mac lalu perlu melalui Mesyuarat Khas Senat UKM dan nampak sangat mesyuarat Jumaat lalu bertujuan mengelirukan kami,” katanya.

Isu penstrukturan semula FSKK mendapat perhatian apabila UKM menutup Jabatan Persuratan Melayu (JPM) yang mempunyai sejarah sejak 30 tahun lalu dan menggantikannya dengan Program Pengajian Melayu (PPM).

Langkah pentadbiran akademik UKM menukar JPM yang menawarkan 51 kursus kepada PPM dengan 14 kursus saja, menurunkan status jabatan itu sedangkan tujuan penstrukturan semula adalah bagi tujuan pemerkasaan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi