Make your own free website on Tripod.com
Macworld Magazine

PENDIDIKAN

Berita Harian 10 april 2001

Surat: Ramai pelajar STU Kelantan gagal di Al-Azhar


MULAI tahun ini, Lembaga Pengurusan Universiti Al-Azhar (Al-Azhar As-Syarif) di Mesir hanya akan menerima calon yang menjadi pemegang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk kemasukan ke Universiti Al-Azhar dan pusat pengajian tinggi yang mengendalikan program kerjasama atau sebagainya, dengan Universiti Al-Azhar di Malaysia. Keputusan ini dibuat hasil perjanjian antara lembaga itu dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagaimana pun, Kerajaan Pas Kelantan seolah-olah tidak menerima keputusan ini. Ia masih berusaha merayu agar Universiti Al-Azhar menerima kemasukan pelajar lulusan Sijil Tinggi Ugama (STU) kelolaan sekolah agama rakyat (SAR) dan negeri (SAN) di bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri mengetuai rombongan ke Mesir untuk merayu kepada Universiti Al-Azhar pada Julai tahun lalu. Ketika bertemu pelajar Malaysia di sana, beliau menyeru mereka supaya belajar bersungguh-sungguh dan apabila lulus nanti, pulang ke Malaysia menyokong perjuangan Pas.

Katanya, Kelantan sudah lama mengendalikan peperiksaan STU dan lulusan terus diterima kemasukan ke tahun pertama Universiti Al-Azhar. Banyak pelajar dari negeri lain yang mengambil peperiksaan STU di Kelantan, tambahnya. Jadi adalah wajar meneruskan STU kerana Kerajaan Pusat tidak ada SAR dan SAN.

Dalam kes ini, nampaknya Nik Aziz semacam berlakon sebagai tukang cerita dalam wayang Cina.

Dia tidak berupaya menerangkan keadaan sebenar dan berterus terang kepada pelajar punca pengurusan Universiti Al-Azhar tidak lagi menerima kemasukan pelajar lulusan STU Kelantan.

Sukar baginya menjelaskan bahawa ramai lulusan STU Kelantan terkandas ketika menuntut di Universiti Al-Azhar dan universiti lain di Timur Tengah.

Jawapannya ialah kerana sijil STU Kelantan tidak bermutu. Mutu pelajar lulusan SAR dan SAR Kelantan begitu merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga Universiti Al-Azhar tidak boleh lagi mengendurkan syarat minimum kemasukannya sehingga menjejaskan nama baik universiti itu sendiri.

Ini hakikatnya, statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan kira-kira 50 peratus pelajar SAR yang dihantar Kerajaan Pas Kelantan ke Universiti Al-Azhar untuk melanjutkan pelajaran gagal dalam peperiksaan.

Pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah pula menganggarkan 65 peratus pelajar persendirian yang melanjutkan pelajaran di universiti sama gagal pada peringkat awal lagi.

Berikutan kegagalan pelajar lulusan SAR Kelantan, Universiti Al-Azhar tidak yakin dengan sistem pendidikan yang dikendalikan oleh YIK. Pelajar SAR yang menggunakan kurikulum YIK didapati tidak mampu menunjukkan prestasi akademik yang baik di Universiti Al-Azhar.

Ramai antara mereka yang terpaksa pulang semula ke tanah air tanpa sebarang sijil atau kelulusan.

Namun begitu, Nik Aziz masih mahu menafikan kegagalan pelajar lulusan STU Kelantan walaupun gagal memberi data untuk menyokong kedegilan beliau. Semata-mata atas dasar pemikiran politik sempitnya, Nik Aziz menegak benang basah dan mempertahankan tindakan kerajaan negeri yang jelas merugikan rakyat.

Dalam ceramahnya berhubung isu ini, Nik Aziz menyatakan kebanggaannya terhadap seorang pelajar tajaan YIK yang menuntut bidang perubatan di Universiti Al-Azhar bernama Mohd Asri. Nik Aziz mengambil satu kes untuk dijadikan modal politiknya, bertujuan merasionalkan kewujudan SAR Kelantan. Untuk pengetahuan Nik Aziz, Mohd Asri yang dibanggakan itu sebenarnya menghadapi masalah.

Di tahun dua, atas rayuan Mohd Asri, universiti membenarkan beliau dikecualikan bayaran tuisyen sebanyak RM9,000 sebulan kerana beliau menghadapi masalah kesempitan wang.

Pendek kata, tidak usahlah Nik Aziz bermain wayang lagi. Hakikatnya, kurikulum YIK tidak lagi diyakini Universiti Al-Azhar. STU Kelantan tidak laku dan tidak diiktiraf lagi. Jadi apa yang mahu dipertahankan sijil STU Kelantan?

Pada tahun lalu, hanya seorang saja daripada beribu-ribu pelajar SAR dan SAN Kelantan yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM. Walaubagaimanapun, calon itu adalah calon persendirian. Dengar khabar, sijil beliau tidak diterima kerana beliau tidak hadir dalam ujian lisan.

Akuilah kelemahan yang pernah berlaku, dan galakkan pelajar menduduki STAM jika mahu terus mempertingkatkan mutu pendidikan agama. STAM bukan saja diterima di Universiti Al-Azhar, malah IPTA juga mengiktirafnya sama dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, layak memohon masuk ke Tahun Satu.



DRS ANUAR RALIB

Kota Bharu, Kelantan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi