Make your own free website on Tripod.com
Macworld Magazine

PENDIDIKAN

Berita Harian 12 april 2001

Dua lagi jabatan bantah susun semula fakulti


KUALA LUMPUR, Khamis – Dua lagi jabatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membantah bentuk penstrukturan semula yang dilakukan terhadap Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK) universiti itu.

Jika sebelum ini, Jabatan Persuratan Melayu membantah kedudukannya dalam penstrukturan itu, kini Jabatan Geografi serta Jabatan Antropologi dan Sosiologi pula membantah keputusan Senat UKM mewujudkan Program Pengajian Ekonomi di bawah penstrukturan berkenaan.

Berita Harian difahamkan, Jabatan Geografi hari ini menghantar surat kepada Dekan FSKK, Prof Madya Dr Shamsuddin A Rahim, menolak program berkenaan.

Menurut sumber, surat itu yang ditandatangani semua pensyarah jabatan berkenaan turut mencadangkan supaya Program Pengajian Sosial dan Persekitaran yang dicadangkan pada peringkat awal, dimasukkan dalam penstrukturan itu.

Sementara itu, katanya, pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi pula dijangka menghantar surat kepada pentadbiran universiti untuk meminta penjelasan mengenai Program Pengajian Ekonomi dalam penstrukturan berkenaan.

“Pensyarah jabatan itu belum mengutip tanda tangan seperti dilakukan Jabatan Geografi, tetapi mesyuarat jabatan itu yang berlangsung semalam memutuskan untuk berbuat demikian.

“Mereka ingin mengetahui bagaimana boleh timbul Program Pengajian Ekonomi dalam mesyuarat Senat. Jika ia dicadangkan pada peringkat Senat, pensyarah ingin tahu bagaimana bentuk Program Pengajian Ekonomi yang dicadangkan itu,” katanya kepada Berita Harian.

Mesyuarat Senat UKM ke-293 memutuskan penstrukturan semula FSKK yang digabungkan dengan Fakulti Sains Pembangunan dan Fakulti Pengajian Bahasa menjadi fakulti baru iaitu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Di bawah penstrukturan itu, Senat UKM menubuhkan lima pusat pengajian, termasuk Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, di bawah FSSK.

Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran diwujudkan hasil penggabungan Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Jabatan Geografi dan sebahagian Fakulti Sains Pembangunan.

Sabtu lalu, Berita Harian melaporkan mesyuarat tiga fakulti itu dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), Prof Datuk Dr Abdul Samad Hadi, Jumaat lalu menjadi kecoh dan berlangsung dalam suasana tegang kerana pensyarah menyifatkan pentadbiran UKM tidak telus melaksanakan penstrukturan itu.

Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi serta Jabatan Geografi tidak berpuas hati keputusan Senat UKM meletakkan Program Pengajian Ekonomi di bawah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, sedangkan program itu tiada dalam cadangan asal yang dikemukakan Jawatankuasa Penstrukturan pusat itu.

Tambahan pula, ketika ini UKM mempunyai Fakulti Ekonomi sendiri yang akan digabungkan dengan Fakulti Pengurusan Perniagaan menjadi Fakulti Ekonomi, Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan apabila penstrukturan semula dilaksanakan.

Fakulti Ekonomi UKM ketika ini mempunyai empat jabatan iaitu Jabatan Analisis Ekonomi dan Dasar Awam, Jabatan Ekonomi Pembangunan, Jabatan Pertanian dan Sumber serta Jabatan Statistik Ekonomi.

Sebelum ini, pensyarah Jabatan Persuratan Melayu menyuarakan bantahan mereka kerana di bawah penstrukturan baru itu, jabatan berkenaan dijadikan Program Pengajian Melayu dan diletakkan di bawah Pusat Pengajian Bahasa, Budaya dan Sastera.

Bantahan yang turut mendapat kritikan pelbagai pihak di luar UKM itu masih belum selesai dan sudah sampai ke pengetahuan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad yang mengarahkan supaya pensyarah dan pentadbiran universiti berkenaan mencari kata sepakat mengenainya.

Pada asalnya, Jawatankuasa Penstrukturan mencadangkan lima program diwujudkan di bawah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran iaitu Program Pengajian Antropologi dan Sosiologi, Program Pengajian Geografi, Program Pengajian Pembangunan, Program Pengurusan Organisasi dan Sumber Manusia serta Program Perancangan Sosial dan Persekitaran.

Bagaimanapun, hanya tiga program pertama diterima oleh Senat, manakala dua lagi ditolak tanpa sebarang alasan.

Pensyarah jabatan terbabit mendakwa terperanjat apabila Program Pengajian Ekonomi turut diletakkan di bawah pusat itu tanpa sebarang sebab, sedangkan jawatankuasa penstrukturan tidak pernah mencadangkannya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi