Make your own free website on Tripod.com
Macworld Magazine

PENDIDIKAN

Berita Harian 20 mac 2001

Pemuda Gerakan dakwa dasar pendidikan diseleweng


KUALA LUMPUR, Isnin – Pemuda Gerakan mendakwa, perpaduan nasional gagal dicapai sepenuhnya kerana berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan dasar pendidikan serta layanan tidak setara kepada pelajar yang berlainan aliran sekolah.

Setiausaha agungnya, Hoo Saw Ho, berkata kenyataan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad bahawa sistem pendidikan pelbagai aliran menjadi batu penghalang perpaduan nasional adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, walaupun wujud pelbagai aliran sekolah dalam sistem pendidikan negara, pelajar mengikuti kurikulum atau kandungan yang sama seperti dirangka Kementerian Pendidikan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menghentikan tindakan mempolitikkan isu pendidikan, sebaliknya berusaha mengkaji semula isu yang dikaitkan dengan penyelewengan dalam pelaksanaan dasar pendidikan serta merangka kurikulum yang dapat menerapkan semangat perpaduan nasional dengan lebih berkesan.

“Pemuda Gerakan berpendapat penyelewengan dalam pelaksanaan dasar pendidikan dan layanan tidak setara kepada pelajar aliran berlainan menjadi faktor utama perpaduan nasional tidak dapat dicapai sepenuhnya.

“Kementerian Pendidikan perlu mengamalkan pendirian lebih liberal bagi mengenal pasti faktor penghalang perpaduan nasional di samping berusaha menerap dan memantapkan semangat itu dalam kurikulum pendidikan supaya pelajar pelbagai aliran lebih menghayati dan menghargainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa sebelum ini dilaporkan berkata, lebih 90 peratus kanak-kanak Cina bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), lebih 65 peratus kanak-kanak India bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) manakala lebih 95 peratus kanak-kanak Melayu bersekolah di sekolah kebangsaan.

Keadaan itu, katanya, jika dibiarkan akan menyebabkan perpaduan kaum semakin longgar dan usaha mengukuhkan kembali perpaduan sudah terlewat jika dilakukan apabila kanak-kanak mencapai usia dewasa.

Bagaimanapun, MCA dan MIC semalam menolak anggapan berkenaan dan mempertahankan sistem pendidikan pelbagai aliran yang disifatkan mereka sebagai munasabah serta dapat memenuhi kehendak pelbagai kaum di negara ini.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, berkata kedudukan sama untuk semua kaum sukar dicapai di negara ini kerana nisbah kaum yang tinggi dan kerajaan perlu mendapat restu semua kaum sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

Beliau memberi contoh konsep Sekolah Wawasan yang mempunyai kebaikan jika dinilai dari sudut perpaduan kaum tetapi mungkin mencetuskan masalah di luar ramalan bagi jangka panjang.

“Oleh itu, lebih baik jika sekolah berlainan aliran dibina berdekatan antara satu sama lain tetapi beroperasi secara berasingan,” katanya.

Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor, pula meminta Kementerian Pendidikan membuat kajian mendalam terhadap cadangan supaya mengadakan sekolah satu aliran dan tidak melaksanakannya hanya kerana berlaku kejadian tertentu.

“Semua cadangan ini perlu kajian mendalam kerana ia bukan untuk dilaksanakan sehari dua atau setahun dua,” katanya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Asyraf Wajdi Datuk Dusuki meminta kerajaan mengkaji sejauh mana sistem pendidikan pelbagai aliran yang ada mampu melahirkan masyarakat majmuk yang bersatu-padu.

Beliau juga mencadangkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Khas Diraja yang dianggotai pelbagai golongan, termasuk wakil parti kerajaan dan pembangkang, untuk mengkaji tahap perpaduan kaum di negara ini serta merancang pelan tindakan jangka panjang yang lebih kemas dan tersusun dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, pula berkata kajian terperinci mencakupi pendapat serta kehendak semua kaum perlu dibuat terlebih dulu jika kerajaan ingin melaksanakan sekolah satu aliran.

“Ia harus mengambil kira pelbagai perkembangan yang berlaku secara meluas. Jika tidak masalah lain pula akan timbul. Lagipun sekolah Cina dan Tamil sentiasa mematuhi kurikulum yang ditetapkan kerajaan,” katanya sambil menegur kegagalan Kementerian Pendidikan menyediakan guru mencukupi untuk mengajar bahasa Melayu di sekolah Tamil dan Cina kerana masalah itu harus diatasi terlebih dahulu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, pula berkata sudah terlambat untuk kerajaan melaksanakan sistem sekolah satu aliran kerana pendidikan di negara ini diletakkan pada asas perkauman sejak negara merdeka lagi.

“Penyatuan kaum melalui pendidikan sepatutnya dibuat lebih awal lagi sebagai mencontohi zaman kegemilangan Islam dahulu dengan pemimpin Islam menyatukan kaum lain melalui pendidikan sebaik saja mengetahui mereka memeluk Islam,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock menolak tanggapan bahawa penggunaan bahasa yang berlainan menyebabkan perpecahan kaum kerana banyak negara lain yang menggunakan satu bahasa tetapi mengalami masalah perpaduan di kalangan rakyat mereka.

Katanya, perkara yang lebih penting ialah kerajaan harus menentukan segala dasar yang digubalnya diterima dan dihayati segenap lapisan rakyat.

DI GEORGETOWN, Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan, Dr Toh Kin Woon, berkata parti itu menentang keras cadangan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai satu-satunya bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan serta pelaksanaan Sekolah Wawasan bagi memupuk perpaduan nasional.

“Kita bukan saja meminta diteruskan sistem pendidikan sedia ada, malah meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar, mengikut satu kurikulum seragam.

“Kita mengiktiraf dan menghormati hak setiap rakyat Malaysia terhadap pendidikan bahasa ibunda masing-masing. Pengiktirafan dan penghormatan itu, jika disusuli langkah konkrit, pasti membantu memupuk perpaduan nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Toh berkata, Gerakan berpendapat isu perpaduan tiada kaitan dengan kewujudan dan penerusan sistem pendidikan pelbagai aliran yang sedia ada, sebaliknya boleh dipupuk dengan mewujudkan keadilan sosial, pengagihan ekonomi sama rata, peluang pendidikan untuk semua, toleransi, hormat menghormati budaya, bahasa serta agama di kalangan semua bangsa di negara ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi