Make your own free website on Tripod.com
Macworld Magazine

PENDIDIKAN

Berita Harian 13 april 2001

Mata pelajaran Kemahiran Asas Industri diperkenal tahun depan


KUALA TERENGGANU, Jumaat – Mulai tahun depan, Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan kumpulan mata pelajaran Kemahiran Asas Industri (KAI) bagi pelajar tingkatan empat dan lima yang berminat dalam bidang kemahiran.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, berkata 22 mata pelajaran KAI akan diperkenalkan sebagai pelengkap kepada kursus vokasional yang dijalankan di sekolah menengah teknik dan vokasional.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan membolehkan pelajar yang cenderung kepada bidang kemahiran mendapat peluang pekerjaan, memulakan perniagaan atau meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang berkaitan.

Antara mata pelajaran yang akan diperkenalkan ialah Pembinaan Domestik, Membuat Perabot, Seni Reka Tanda, Servis Peralatan Elektrik Domestik, Rekaan dan Jahitan Pakaian, Katering dan Penyajian, Lanskap dan Nurseri serta Tanaman Makanan.

Bercakap kepada pemberita di sini malam tadi, Musa berkata pada peringkat permulaan kementerian akan menawarkan lapan mata pelajaran KAI untuk diajar kepada kira-kira 6,000 pelajar di 50 sekolah yang akan dikendalikan 100 tenaga pengajar.

“Menjelang 2008, kementerian menetapkan sasaran 35 peratus atau 218,100 daripada 622,186 pelajar tingkatan empat dan lima di seluruh negara mengikuti KAI,” katanya.

Beliau berkata, guru yang mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup, Teknologi Kejuruteraan, Pertanian dan Ekonomi Rumah Tangga akan diberi latihan intensif bagi menampung keperluan bidang itu.

Katanya, untuk persediaan jangka panjang pula, institusi pengajian tinggi seperti Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn dan Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia di Melaka, akan melatih bakal guru bagi bidang berkenaan.

Musa berkata, bagi menyediakan prasarana program KAI, bengkel Kemahiran Hidup di sekolah akan diperbesarkan untuk memberi khidmat pengajaran dan pendidikan dalam bidang berkenaan.

Katanya, selain sekolah menengah biasa, tumpuan akan terus diberikan kepada pelajar di sekolah menengah teknik dan vokasional untuk mengikuti mata pelajaran berkenaan.

Beliau berkata, tahun ini, sebanyak 7.41 peratus atau 40,500 daripada 546,520 pelajar di seluruh negara mengikuti pendidikan vokasional di sekolah menengah teknik dan vokasional.

Selain itu, katanya, kementerian akan memperuntukkan RM200 juta dalam tempoh lapan tahun akan datang bagi menyediakan kemudahan peralatan kemahiran di sekolah menengah harian dan sekolah teknik serta vokasional.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi