Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 09 april 2001

Polarisasi kaum pelajar IPT meningkat

JOHOR BAHRU 8 April - Gejala polarisasi kaum di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan usaha perlu dilakukan bagi menghapuskannya demi perkembangan bangsa Malaysia yang sihat.

Pendedahan itu dilakukan oleh Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Kejuruteraan Kolej Universiti Teknologi Tun Husein Onn, Batu Pahat, Prof. Madya Ir. Dr. Amir Hashim dan Setiausaha MCA Bahagian Johor Bahru, Wee Ka Siong.

Prof Madya Ir. Dr. Amir Hashim berkata, polarisasi itu berlaku apabila pelajar Melayu, Cina dan India hanya bergaul dengan rakan mereka dari kaum mereka sahaja.

Menurutnya, punca pergaulan berdasarkan kepada kelompok masing-masing itu perlu dicari bagi memastikan gejala itu tidak lagi mendapat tempat di kalangan generasi muda di negara ini.

``Saya bimbang dengan perkembangan polarisasi kaum ini dan ia perlu dibanteras,'' katanya ketika berucap pada Forum Mengenai Strategi Perpaduan Nasional anjuran Biro Strategi dan Penyelidikan Pergerakan Pemuda MCA Kebangsaan di sini, hari ini.

Turut sama dalam forum itu ialah Ketua Pemuda MCA, Datuk Ong Tee Kiat; Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Putri, Mohamed Kasbi dan Penolong Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MIC Johor, M. M. Samy manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Stulang, Freddie Long pula bertindak sebagai pengerusi.

Dr. Amir juga berkata, graduan IPT yang lemah dalam bahasa Inggeris dan kebanyakan mereka didapati lebih suka berkhidmat di sektor awam berbanding dengan sektor swasta.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan berlaku ketidakseimbangan antara bilangan bumiputera yang berkecimpung di sektor swasta berbanding dengan rakan bukan bumiputera mereka.

Wee berkata, kelab perpaduan perlu ditubuhkan di setiap sekolah rendah, menengah dan universiti sebagai usaha untuk memupuk semangat muhibah di kalangan pelajar berbilang kaum.

Menurutnya, melalui cara itu, setiap pelajar dan mahasiswa akan mengetahui dengan lebih mendalam mengenai adat resam dan budaya serta agama yang terdapat di negara ini, sekali gus membantu mewujudkan masyarakat Malaysia.

``Kita juga berharap bahasa Melayu ditukar nama kepada bahasa Malaysia seperti sebelum ini sebagai cara untuk memupuk semangat patriotik seperti diajar pada tahun 1970-an lalu,'' ujarnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum