Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 10 april 2001

Pencapaian tidak seimbang pelbagai kaum di IPT membimbangkan

KUALA LUMPUR 9 April - Pencapaian akademik tidak seimbang serta keputusan yang amat ketara perbezaannya di antara pelajar pelbagai kaum di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) masa kini amat membimbangkan.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berkata, pada masa ini ada sekelompok pelajar mendapat markah yang rendah manakala kelompok lain mendapat markah tinggi.

Menurutnya, pencapaian pelajar Cina pada masa kini amat tinggi terutama dari segi bilangan yang mendapat ijazah kelas pertama.

``Soal gred dan kualiti adalah biasa di mana-mana universiti tetapi perbezaan inilah yang merisaukan kita,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Pengurusan Kementerian Pendidikan Asia Tenggara (Seameo) - Pusat Pembangunan Serantau Pendidikan Tinggi (Rihed), di sini, hari ini.

Menurut Musa di antara punca perbezaan pencapaian akademik di IPT adalah faktor prasarana dan guru di sekolah luar bandar.

Beliau menjelaskan, apabila sekelompok etnik pelajar itu datang dari sekolah yang tidak mempunyai prasarana dan guru yang baik maka pencapaian mereka juga akan menurun.

Bagaimanapun, Musa berkata, kementerian yakin perbezaan pencapaian akademik itu dapat diatasi dalam masa beberapa tahun ini.

``Semua pihak perlu mencari jalan ntuk memperbaiki keputusan peperiksaan semua kelompok etnik berkenaan.

``Ia satu perkara yang kita perlu usahakan, bukan sahaja di peringkat kementerian, malah di peringkat universiti dan pelajar itu sendiri,'' katanya.

Ekoran itu, katanya, kerajaan berusaha melengkapi prasarana itu termasuk membina lebih banyak Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Tambahnya, sebanyak 28 buah SBP baru akan dibina sepanjang Rancangan Malaysia Ke-8 bagi memberi pendidikan yang lebih sempurna kepada pelajar kelompok itu.

Selain itu, katanya, kementerian juga akan menentukan semua guru yang mengajar di sekolah luar bandar menerima latihan.

Jelasnya, guru bukan sahaja sentiasa berminat untuk mengajar dengan cemerlang tetapi mereka juga perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan pengajaran yang terkini.

``Untuk tujuan itu, kementerian sentiasa memastikan mereka menghadiri kursus yang diadakan di maktab perguruan dari semasa ke semasa,'' katanya.

Pada majlis itu juga, Musa berkata, pelajar IPT perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk membolehkan mereka mempunyai semangat daya saing yang tinggi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum