Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 10 april 2001

Perang Teluk -- Pendidikan kembali ke era 60-an


AL-WAFAQ JUMALI (berdiri, kanan sekali) membawa kanak-kanak tadika melawat muzium tentera di Baghdad, baru-baru ini.

Oleh Wahid Hashim
(Yang melawat Iraq baru-baru ini)
KEROSAKAN di 5,000 buah sekolah akibat perang Teluk pada 1990 - sama ada secara langsung atau tidak langsung - masih belum dipulihkan sehingga ke saat ini.

Ditambah dengan kemiskinan akibat sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka peperangan itu nyaris memadam sejarah kegemilangan pendidikan di Iraq yang usianya mencecah berabad-abad lamanya.

Jika dibandingkan dengan sistem persekolahan di Malaysia, penulis meletakkan standard persekolahan rendah dan menengah di Iraq seperti telah kembali merentas `mesin masa' buatan Amerika Syarikat (AS) ke era 60-an.

Kebanyakan sekolah tidak berpintu tingkap atau berkerusi meja.

Bilik-bilik darjah yang sepatutnya menampung 30 murid ketika sebelum perang, kini terpaksa menampung sehingga 70 murid.

Sistem kumbahannya memang teruk. Memasuki tandas memang meloyakan anak tekak.

Dengan ketiadaan program penyelenggaraan sejak beberapa tahun yang lalu, kebanyakan sekolah di seluruh Iraq mulai usang.

Oleh kerana ketiadaan buku teks, buku tulis serta kerusi meja, Al-Wafaq Jumali - seorang guru tadika di Aadhamiya, Baghdad - tidak menekankan sangat pembelajaran di dalam bilik darjah.

``Saya lebih banyak bercerita dan membawa kanak-kanak ke muzium, taman bunga atau sekalisekala ke lokasi bersejarah di luar Baghdad seperti di Babylon atau Samarra.'' Katanya.

Pendidikan tadika di Iraq memberi kebebasan kepada pentadbir sekolah untuk merangka kurikulum sendiri, kata Al-Wafaq, yang ketika ditemui sedang membawa kira-kira 23 kanak-kanak ke Muzium Tentera Baghdad.

Muzium tentera itu mempamerkan pelbagai peralatan perang sejak zaman silam sehingga Perang Teluk pada 1990. Antara yang dipamerkan termasuklah seragam seorang juruterbang jet pejuang yang terbunuh ketika perang Arab-Yahudi, yang masih ada kesan darah pada topi juruterbang.

Kata Wafaq, dalam seminggu, kadang kala masa mengajarnya cuma tiga hari. Ketika musim panas yang bermula April, suhu akan mencapai takat darurat iaitu kira-kira 40 darjah Celsius, dan kanak-kanak digalakkan berada di dalam rumah.

Di sekolah tiada pendingin hawa atau kipas. Kalau ada pun tidak bermakna kerana ketiadaan bekalan elektrik, kata Al-Wafaq.

Di Iraq, waktu pejabat kerajaan hanya setakat pukul 2 petang. Waktu persekolahan sekolah rendah dan menengah bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Kanak-kanak tadika, rendah dan menengah tidak mempunyai seragam yang khusus.

Bagaimanapun kerajaan mewajibkan pelajar universiti dan kolej memakai seragam yang sama di seluruh negara.

Bilangan pelajar di sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi di Iraq kini berjumlah 4.8 juta orang.

Dengan ketiadaan program penyelenggaraan sejak beberapa tahun yang lepas, kebanyakan sekolah di seluruh negara mulai usang dan tidak selamat untuk diduduki lagi.

Sekolah-sekolah di Iraq memerlukan pembaikpulihan yang segera, seperti yang dilaporkan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang dikemukakan kepada Setiausaha Agung PBB bertarikh 29 November tahun lepas.

Kajian oleh pertubuhan itu secara rawak ke atas 382 sekolah rendah dan 129 sekolah menengah mendapati masing-masing 90 peratus dan 75 peratus berada dalam keadaan yang sungguh daif.

Sekolah-sekolah tidak lagi selamat diduduki oleh murid-murid dan guru-gurunya.

Menurut laporan pemerhati PBB, kebanyakan bangunan sekolah mengalami keretakan yang teruk dan dindingnya boleh runtuh pada bila-bila masa kerana menyimpan kelembapan.

Menurut laporan berkenaan, bahagian siling kebanyakan sekolah bocor, pintu yang pecah atau tertanggal serta tanpa pendawaian asas bekalan elektrik.

Kerusi meja, alat tulis, bahan bercetak, makmal-makmal latihan dan sebagainya hanya boleh dilihat di sekolah-sekolah bertaraf elit di sekitar Baghdad.

Prasarana fizikal tamadun pendidikan di Iraq yang bermula seawal 1227 - 1242 sebelum Masihi pada era Khalifah Abbasiyah masih kekal sehingga ke hari ini.

Sekolah Al-Mustansiriyah sempena nama khalifah ke-37 Khalifah Abbasiyah iaitu Al Mustansir Billah, adalah sekolah kedoktoran dan perundangan yang terkenal dan dikenang sehingga ke hari ini. Dari mana asalnya Ibnu Sina kalau bukan dari Iraq.

Arca Ibnu Sina dan beberapa pakar-pakar Islam disemadikan di Kolej Perubatan Baghdad.

Di universiti, para pelajar yang telah menamatkan pengajian tidak diberikan ijazah supaya mereka tidak mencari pekerjaan di luar negara.

Moral pelajar universiti sebahagiannya merosot kerana merasakan mereka tidak mempunyai masa depan. Ramai yang hanya menjadi pemandu teksi setelah bergelar graduan.

Mempunyai ijazah atau tidak, seorang lelaki Iraq akan melakukan purata tiga jenis pekerjaan sehari.

Kebanyakan wanita adalah suri rumah tangga sepenuh masa.

Situasi yang melanda Iraq sekarang telah mengurangkan kadar pendaftaran pelajar dan pada masa yang sama melonjakkan kadar keciciran. Menurut laporan berkenaan, mutu pengajaran juga merosot akibat kekurangan peralatan.

Menurut laporan PBB itu lagi, keperluan segera kepada kemudahan awam dan asas sektor pendidikan di seluruh Iraq dianggarkan memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM943.464 juta, dengan RM581.4 juta telah diperuntukkan bagi keperluan pendidikan asas (tadika sehingga sekolah menengah).

Daripada jumlah berkenaan, RM235.6 juta diperuntukkan kepada tiga wilayah di utara Iraq.

Projek yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Pengurusan Pendidikan (EMIS) bertujuan mengukuhkan kapasiti pendidikan turut diperkenalkan.

Keupayaan menerbit dan mencetak buku teks sukatan tempatan untuk kegunaan sekolah tadika dan sekolah rendah akan ditambah.

Bagi tujuan itu, sebanyak RM11.02 juta diperuntukkan untuk membeli alat-alat ganti bertujuan memulihkan semula keupayaan sektor percetakan di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan.

Kekurangan pakar menyebabkan Iraq perlu menggunakan kepakaran luar. Pemantauan oleh PBB dan pihak berkuasa pendidikan di negara itu mendapati 50 peratus buku teks yang diagihkan di sekolah-sekolah adalah buku terpakai dan baki 50 peratus lagi dicetak di luar Iraq.

Kerajaan Iraq telah menetapkan sasaran membekalkan dua juta meja tulis ke sekolah-sekolah.

Untuk tujuan itu, Kementerian Pendidikan telah mengikat kontrak dengan tiga syarikat. Namun, setelah tempoh yang ditetapkan tamat, hanya 36 peratus sahaja bekalan meja dapat dipenuhi.

Pemerhati PBB turut memantau sejauh mana penggunaan komputer yang dibekalkan di bawah program celik teknologi maklumat (IT). Kajian ke atas kegunaan mendapati, mendapati 92 peratus digunakan untuk tujuan pengajaran sementara bakinya untuk kegunaan pentadbiran.

Walaupun hasrat PBB itu baik, namun yang anehnya ialah spesifikasi komputer juga sudah agak ketinggalan (486-DX) dan hanya lapan peratus daripadanya mempunyai keupayaan pedagogi multimedia. Ini menjadikan kegunaan komputer untuk tujuan sebenar pengajaran teknologi maklumat tidak akan tercapai.

Di sekolah-sekolah yang menerima bantuan komputer, nisbah pelajar berbanding bekalan ialah sebuah komputer kepada setiap tujuh pelajar. Dengan bilangan sekolah menengah yang banyak di wilayah tengah dan selatan Iraq, iaitu 3,300 buah, berbanding jumlah komputer yang diterima, iaitu 1,411 unit, maka masih terdapat banyak kekurangan yang perlu ditampung.

Sementara itu, kolej dan beberapa institusi pengajian tinggi turut menerima perlatan pergigian dan mesin-mesin makmal. Walaupun kesemuanya telah diagih-agihkan, malangnya tiada satu pun yang telah digunakan kerana kegagalan pembekal untuk menyertakan sekali manual dan latihan. Untuk mengekalkan kesinambungan usaha-usaha berkenaan, kemahiran pengurusan dan perancangan di kalangan pihak berkuasa pendidikan akan diperhebat dan disokong sepenuhnya oleh PBB.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum