Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 10 april 2001

STAM -- Usah hanya untuk kemasukan ke Al-Azhar

KEMENTERIAN Pendidikan berharap Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut digunakan sebagai syarat kemasukan pelajar-pelajar Malaysia ke negara-negara lain yang menawarkan pengajian Islam di universiti-universiti mereka.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, Prof. Dr. Hassan Said, langkah berkenaan bertujuan untuk menyeragamkan syarat kemasukan pelajar-pelajar Malaysia bukan sahaja ke Mesir malah ke tempat-tempat lain terutamanya negara-negara Timur Tengah.

``Buat masa ini, syarat tersebut hanya digunakan untuk ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

``Bagaimanapun, kita telah memaklumkan mengenai langkah terbaru ini kepada universiti-universiti terbabit di Timur Tengah melalui jabatan penuntut kita di seberang laut,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Baru-baru ini Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan arahan supaya pelajar yang bercadang melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar mulai sesi 2001/2002 hendaklah memiliki STAM.

Arahan ini menyebabkan semua sijil kelayakan lain termasuk yang dikeluarkan oleh negeri-negeri dimansuhkan.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan tersebut Dr. Hassan berkata, penggunaan STAM akan membolehkan kemasukan pelajar-pelajar Malaysia ke Universiti Al-Azhar diiktiraf oleh pihak berkuasa universiti tersebut.

``Ini kerana pengiktirafan telah diakui sendiri oleh Universiti Al-Azhar melalui sepucuk surat kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah bertarikh 7 November 2000,'' katanya.

Dr. Hassan berkata, sistem kemasukan yang dikendalikan sendiri oleh negeri-negeri sebelum ini menyebabkan pelajar turut dinilai dan diberikan sijil-sijil kelayakan yang berlainan mengikut negeri masing-masing.

``Sijil yang dianugerahkan oleh negeri-negeri mengandungi bentuk soalan dan cara penilaian yang berbeza-beza,'' tambah Dr. Hassan.

Penilaian yang berbeza-beza ini katanya, menyebabkan kualiti pelajar-pelajar yang lulus tidak seragam.

``Ini menyebabkan tanggapan pihak berkuasa Universiti Al-Azhar terhadap kualiti pelajar-pelajar kita sedikit terjejas,'' kata Dr. Hassan.

Menurutnya lagi, peperiksaan untuk mendapatkan STAM ini telah dimulakan tahun lalu.

``Pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut telah pun mendapat keputusan dan pihak kementerian sedang menunggu borang permohonan kemasukan beserta sijil STAM yang sah daripada pemohon yang berminat,'' kata Dr. Hassan.

Sehingga kini terdapat kira-kira 7369 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar melalui sijil-sijil yang dikeluarkan oleh negeri-negeri.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum