Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 10 april 2001

Kejuruteraan: Ahmad Zaidee jelaskan maksud kenyataan

INSTITUT Kejuruteraan Malaysia (IEM) menegaskan, sidang akhbar mengenai pengiktirafan kursus Kejuruteraan yang dibuatnya baru-baru ini, tidak berniat menyalahkan mana-mana pihak.

Sebaliknya menurut pengerusi institut tersebut Datuk Dr. Ahmad Zaidee Laidin, kenyataan itu adalah untuk mengingatkan pelajar yang mengikuti kursus Kejuruteraan melalui program berkembar supaya memeriksa statusnya bagi memastikan ia diiktiraf di negara ini.

``Sebagai sebuah badan profesional, IEM berpendapat, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memaklumkan dan memberi amaran kepada masyarakat supaya ibu bapa yang membiayai pendidikan anak-anaknya tidak terlambat untuk mengetahui ijazah anaknya tidak diiktiraf di negara ini,'' katanya dalam satu kenyataan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Beberapa akhbar tempatan baru-baru ini menyiarkan kenyataan Presiden Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (MAPC), Tengku Shamsul Bahrin yang menjawab kenyataan terdahulu IEM yang menurutnya memberikan gambaran negatif terhadap kursus kejuruteraan di IPTS.

IEM menasihatkan pelajar yang mengikuti program pengajian berkembar dengan universiti di luar negara supaya mengambil mata pelajaran tambahan bagi membolehkan mereka diiktiraf oleh badan profesional di dalam dan luar negara.

Tambah Dr. Ahmad Zaidee, IEM sebenarnya berbangga kerana banyak IPTS terutamanya yang menjadi ahli MAPCO telah memohon untuk mendapatkan akreditasi daripada Majlis Akreditasi Kejuruteraan (AEC) yang ditubuhkan tahun lepas.

Ini katanya adalah satu langkah yang positif.

``Bagaimanapun, kami menasihatkan pelajar ini memeriksa senarai program-program yang telah pun mendapat akreditasi daripada IEM,'' katanya.

Jelasnya, IEM berharap IPTS ini akan melatih pelajar untuk menjadi professional yang mampu bersaing dalam pasaran dan melaksanakan tugas-tugasnya ke tahap mutu yang diiktiraf antarabangsa.

``Akreditasi di peringkat tempatan hanyalah peringkat awal dan IEM sebenarnya begitu prihatin mengenai kesan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan liberalisasi perdagangan dan perkhidmatan, termasuklah dalam bidang kejuruteraan,'' katanya.

Justerumenurutnya, IEM menggalakkan pensyarah dan pelajar kejuruteraan IPTS menjadi ahli IEM sepertimana yang dilakukan oleh pelajar dan pensyarah Kejuruteraan di IPTA.

``Kami boleh membantu IPTS melalui pelbagai cara dan oleh itu kami menyeru supaya MAPCO mengadakan dialog atau forum untuk menyelesaikan masalah ini.

``Kami percaya ini adalah masanya, demi kebaikan pelajar, keluarga dan masyarakat umum,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum