Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 14 april 2001

Kemahiran Asas Industri di sekolah menengah 2002

KUALA TERENGGANU 13 April - Kementerian Pendidikan memperkenalkan mata pelajaran Kemahiran Asas Industri (KAI) kepada pelajar tingkatan empat dan lima bagi mengalih tumpuan pelajar yang kurang berminat dengan mata pelajaran akademik mulai tahun depan.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berkata, mata pelajaran baru itu mengandungi 22 program kemahiran dan akan dimulakan secara berperingkat-peringkat dan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2005.

Menurut beliau, KAI memberi peluang kepada pelajar yang cenderung kepada kemahiran tangan untuk meningkatkan kemahiran masing-masing dalam bidang yang diminati.

``Program ini sekali gus memudahkan mereka mendapat pekerjaan, memulakan perniagaan sendiri atau meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam bidang berkaitan,'' katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, malam tadi.

Beliau memberitahu, lapan mata pelajaran KAI akan ditawarkan mulai tahun 2002 di 50 buah sekolah sebagai permulaan dengan membabitkan pengambilan 6,000 pelajar.

Mereka akan mengikuti mata pelajaran Pembinaan Domestik, Membuat Perabot, Seni Reka Tanda, Menservis Peralatan Elektrik Domestik, Rekaan dan Jahitan Pakaian, Katering dan Penyajian, Landskap dan Nurseri dan Tanaman Makanan.

Pada tahun 2003, mata pelajaran yang akan diperkenalkan ialah Pemprosesan Makanan, Akuakultur dan Haiwan Rekreasi, Produksi Bahan Multimedia dan Grafik Berkomputer.

Tahun 2004, Pendawaian Domestik, Menservis Automotif, Menservis Peralatan Penyejukan dan Penyamanan Udara, Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut, Hiasan Dalaman Asas, Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Tahun 2005 pula diperkenalkan mata pelajaran Kerja Paip Domestik, Kimpalan Arka dan Gas, Mengetuk dan Mengecat Kereta.

Musa berkata, kementerian mensasarkan 35 peratus atau 218,100 pelajar daripada 622,186 pelajar tingkatan empat dan lima di seluruh negara yang akan mengikuti mata pelajaran ini di sekolah menengah biasa dan teknik/vokasional.

Beliau yakin sasaran itu boleh dicapai menjelang tahun 2008 apabila 650 buah sekolah menengah biasa akan melaksanakan program tersebut sepenuhnya iaitu membabitkan 144,000 pelajar tingkatan empat dan lima bagi sekolah menengah biasa dan 74,100 bagi sekolah menengah teknik/vokasional.

``Bagi menampung keperluan guru-guru dalam bidang ini, guru yang mengajar Kemahiran Hidup, Teknologi Kejuruteraan, Pertanian dan Ekonomi Rumah Tangga akan diberi latihan intensif untuk mengendalikan program ini.

``Untuk persediaan rangka panjang pula, institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn dan Universiti Teknologi Malaysia akan melatih bakal-bakal guru berkenaan,'' jelas beliau.

Musa berkata, pelajar yang mengambil mata pelajaran tersebut akan dinilai dalam bentuk amali dan berasaskan sekolah dan keputusan penilaian itu akan dimasukkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbuka.

Tambah beliau, dua buah IPT disediakan khusus kepada pelajar yang cenderung kepada bidang kemahiran dan ingin melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn di Batu Pahat, Johor dan Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia di Melaka.

Katanya, sebuah universiti teknikal juga akan ditubuhkan di Pahang bagi menampung pertambahan bilangan pelajar berkenaan.

Oleh: JMADI NASIR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum