Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 19 april 2001

Semua sekolah dilengkapi kemudahan komunikasi 2005

SEMUA sekolah-sekolah di Malaysia akan dilengkapi dengan kemudahan asas prasarana telekomunikasi menjelang 2005 bagi membolehkan pelajar dan penduduk pedalaman turut mendapat kemudahan akses maklumat.

Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie berkata, pembangunan kemudahan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) di pedalaman agak ketinggalan masa kini berbanding di bandar.

``Kerajaan menyedari masalah ini dan sedang merangka rancangan bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara ini turut mendapat akses maklumat yang saksama,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan syarikat penyedia kemudahan jalur lebar dan aplikasi e-niaga Cordoda Corporation Sdn. Bhd. di Taman Teknologi Malaysia dekat Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, melalui program yang dikenali sebagai Pembekalan Perkhidmatan Universal (USP, satu dana akan dibentuk dengan kerja sama kerajaan dan swasta.

Melalui projek tersebut, dana dari kerajaan akan digunakan untuk membangunkan prasarana komunikasi di kawasan pedalaman terutama terhadap sekolah yang masih tidak mempunyai kemudahan asas telekomunikasi, tambah beliau.

Kemudahan asas untuk mendapatkan akes Internet terdiri daripada talian tetap atau wayarles (berkelajuan tinggi) dan komputer mempunyai akses Internet.

Moggie berkata, selain daripada merangkaikan sekolah, kerajaan juga telah menubuhkan pusat-pusat masyarakat yang memberikan pendidikan celik IT asas dan pertengahan kepada penduduk luar bandar.

``Ini termasuk 12 Pusat Internet Desa yang telah ditubuhkan setakat ini dan laporan menunjukkan secara purata antara 50 dan 60 penduduk menggunakan kemudahan itu setiap minggu,'' tambahnya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi perhatian kepada penduduk pedalaman dalam pembangunan ICT kerana urusan antara `rakyat dengan kerajaan' dan `perniagaan dengan kerajaan' di masa depan akan dijalankan secara dalam talian.

``Kami juga telah memulakan beberapa projek percubaan e-masyarakat seperti projek Cybercare, e-bario dan E-Thalassemia,'' tambah beliau.

Beliau juga berkata, kerajaan juga telah memperkenalkan peraturan baru yang bertujuan meningkatkan pembangunan pasaran perkhidmatan Internet negara seperti penetapan arah dan peraturan baru dalam industri pergabungan multimedia masa kini.

Katanya, peraturan pelesenan untuk syarikat terlibat dalam pembekalan kandungan misalnya telah berubah dan dipermudahkan dengan hanya perlu mendaftar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum