Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 19 april 2001

UiTM jadi universiti Tivoli pertama dunia

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) yang baru menyertai program Universiti Perdana IBM menjadi universiti pertama di luar Amerika Syarikat dipilih menjadi Universiti Tivoli.

Naib canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, melalui kerja sama tersebut, para pelajar dan pensyarah UiTM mendapat pengetahuan teknologi terkini dari IBM dan Tivoli.

IBM dan Mesiniaga Berhad akan melabur sebanyak RM8 juta bagi projek tersebut yang meliputi penubuhan makmal Tivoli di UiTM dilengkapi dengan perkakasan, perisian dan juga kurikulum pembelajaran.

Tivoli merupakan syarikat pembekal rumusan pengurusan rangkaian terkenal milik IBM dan pemilihan UiTM sebagai universitinya merupakan sebahagian daripada Program Universiti Pendidikan Sedunia Tivoli.

``UiTM akan menjadi pusat kecemerlangan teknologi IBM dan juga Tivoli,'' katanya pada majlis menandatangani kerja sama antara IBM, UiTM dan Mesiniaga yang merupakan rakan perniagaan IBM Malaysia di Shah Alam, Isnin lepas.

Pada majlis itu, Dr. Ibrahim menandatangani bagi pihak UiTM dan Ketua Pegawai Eksekutif IBM Malaysia, Voon Seng Chuan mewakili IBM. Sementara Pengerusi eksekutif Mesiniaga, Ismail Sulaiman dan Pendaftar UiTM, Mohd. Ariffin Ibrahim hadir sebagai saksi.

Dr. Ibrahim berkata, para pensyarah UiTM akan mendapat latihan daripada tenaga terlatih IBM dan Tivoli sebelum universiti tersebut menawarkan kursus pengurusan rangkaian Tivoli kepada para pelajar.

``Kami mungkin menjemput kakitangan Tivoli untuk melatih para pensyarah UiTM di sini atau menghantar pensyarah ke Amerika Syarikat bagi mendalami pengetahuan sebelum diajarkan kepada pelajar,'' tambahnya.

Katanya, kursus tersebut yang akan diserapkan dalam sebahagian daripada kursus IT yang ditawarkan oleh Fakulti Sains Komputer dan ia dijangka dapat ditawarkan pada semester hadapan.

Voon pula berkata, kerja sama antara IBM dan UiTM merupakan kerja sama yang telah lama dijalankan melalui Mesiniaga dan universiti tersebut juga telah menggunakan sistem Tivoli sebelum ini.

``Sebagai sebuah universiti yang terbesar dengan mempunyai 80,000 pelajar dengan 14 kampus cawangan, sistem rangkaian yang diwujudkan menjadi kompleks dan kemahiran menggunakan perisian Tivoli akan memudahkan pengurusan sistem tersebut,'' katanya.

Katanya, para pelajar yang mengikuti kursus pengurusan rangkaian Tivoli akan juga mendapat faedah yang besar untuk memasarkan diri apabila memasuki pasaran pekerjaan kelak.

Beliau berkata, projek universiti perdana IBM dan Tivoli tersebut merupakan kerja sama di peringkat awal dan IBM merancang untuk meningkatkannya kepada menjadikan UiTM sebagai e-universiti di masa depan.

Katanya, melalui program kerja sama itu, IBM akan memberikan lesen perisian Tivoli secara percuma untuk proses pembelajaran dan menawarkan diskaun jika ia digunakan dalam sistem pentadbiran rangkaian UiTM sendiri.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum