Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 21 april 2001

Didikan seks di usia 7 tahun

KUALA LUMPUR 20 April - Kanak-kanak perlu diberi pendidikan seks seawal usia tujuh tahun hingga ke sekolah menengah bagi mencegah kes-kes penderaan seks ke atas golongan ini yang semakin meningkat sekarang.

Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Datuk Siti Zaharah Sulaiman berkata, pendidikan tersebut termasuklah dari segi biologikal, pembangunan keluarga, reproduktif dan anatomi serta kempen kesedaran

Sehubungan itu, beliau menyeru kerja sama daripada pelbagai pihak seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab dalam soal pendidikan dan pelajaran.

``Kita berharap cara penyampaian dan penerangan mengenai seks ini perlu mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak agama, agar masyarakat tidak tersalah tanggapan mengenai perkara tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Kempen Minggu Kesedaran Penderaan Seks Kanak-Kanak bagi kali kedua, serta pelancaran Barisan Bertindak Pencegahan Penderaan Seks Kanak-kanak di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan sebanyak 21 kumpulan NGO berikrar dengan menurunkan tandatangan bersama bagi penglibatan mereka membendung gejala tersebut.

Pada majlis itu juga Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) dan Ban Hin Lee Bank Pacific Trust Management Berhad telah mendermakan masing-masing RM30,000 dan RM15,000 bagi program tersebut.

Zaharah berkata, ibu bapa perlu peka dan tahu mengenai pendidikan seks agar mereka boleh memberi penerangan kepada anak-anak mereka.

Zaharah berkata, malangnya sehingga kini pendidikan seks tidak pernah diendahkan kerana ia dianggap perkara yang memalukan dan `rahsia'.

Masyarakat pula katanya, tidak suka membincangkan soal penderaan seksual ini kerana menganggap ia tidak perlu dilayani dan tidak akan berlaku kepada keluarga mereka.

Katanya, masalah sekarang, orang yang melakukan penderaan seks, seperti rogol, sumbang mahram, liwat dan sebagainya berlaku di kalangan ahli terdekat keluarga tersebut.

``Kita boleh mencegahnya jika ibu bapa dan orang ramai lebih prihatin dan peka dengan keadaan kanak-kanak'' katanya.

Katanya, setakat ini Rang Undang-Undang Kanak-Kanak 2000 telah digubal bagi memelihara dan melindungi serta memulihkan kanak-kanak demi kesejahteraan mereka.

Ini termasuk penalti yang lebih berat terhadap pendera kanak-kanak iaitu denda tidak melebihi RM20,000 berbanding RM10,000 dan penjara tidak melebihi 10 tahun berbanding 5 tahun di bawah akta itu atau kedua-duanya.

Oleh: ROSMAH MOHD. DAIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum