Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 22 april 2001

UTM menang lima anugerah di Geneva

JOHOR BAHRU 21 April - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengharumkan nama negara apabila 11 pensyarahnya memenangi lima hadiah utama, termasuk satu pingat emas dalam Pameran Ciptaan Antarabangsa ke-29 di Geneva, Switzerland, awal bulan ini.

Ciptaan alat Pengukuhan Kadar Keterikan Malar Untuk Tanah Terstabil oleh Dr. Khairul Anuar Kassim dari Fakulti Kejuruteraan Sivil berjaya menggondol hadiah pingat emas.

Rakan-rakannya memenangi pingat perak bagi ciptaan masing-masing iaitu Prof . Madya Dr. Sheikh Hussain Sheikh Salleh dan Prof. Madya Dr. Ahmad Zuri Sha'ameri dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik yang menyelidik sistem yang dapat mengesan seseorang itu menghidap penyakit angin ahmar dan jantung.

Rakannya, Prof. Dr. Wan Azelee Wan Abu Bakar, Azmi Aris dan Dr. Keiichi Tanaka dari Fakulti Sains pula mencipta sistem untuk merawat air dan udara tercemar bagi industri pertanian dan tekstil.

Prof. Madya Dr. Farid Nasir Ani, Tan Jaan Soon dan Safarudin Ghazali Herawan dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal turut memenangi pingat perak melalui ciptaan tempurung kelapa sawit sebagai bahan asas bagi pemprosesan karbon penyerap untuk aplikasi pemisahan gas. Prof. V.C. Venkatesh dan Izman Sudin dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal pula memenangi pingat yang sama bagi penyelidikan pembuangan logam tanpa merosakkan transistor.

Sementara itu, Dr. Khairul ketika ditemui di UTM di sini, hari ini berkata, kejayaannya merupakan satu hadiah untuknya dan rakan-rakan yang melibatkan diri dalam bidang penyelidikan.

``Bidang penyelidikan ini merupakan satu perkara yang berfaedah dan dapat membantu orang ramai dalam menghadapi dunia yang serba canggih ini,'' katanya.

Sebanyak 44 negara mengambil bahagian dalam pameran di Geneva selama empat hari yang berlangsung mulai 4 hingga 8 April lalu.

Malaysia menghantar 31 penyelidik untuk mengambil bahagian dalam pameran itu.

Selain UTM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Universiti Sains Malaysia, SIRIM Berhad dan syarikat swasta turut mengambil bahagian dan telah memenangi beberapa pingat utama dalam pameran berkenaan.

Oleh: HABIBAH OMAR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum