Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 20 mac 2001

Dilema sekolah kebangsaan -- Bukan Melayu bimbang anak mereka didorong ikuti cara hidup Islam - PM

Oleh: JOHARDY IBRAHIM
KUALA LUMPUR 19 Mac - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan orang Cina dan India tidak berminat untuk ke sekolah kebangsaan kerana suasananya yang kurang menarik serta bimbang anak-anak mereka akan didorong menerima adat resam orang Melayu dan Islam.

Perdana Menteri sebaliknya yakin sekiranya sekolah kebangsaan dijadikan lebih menarik, lebih ramai penuntut kaum India dan Cina akan berminat menyertai sekolah berkenaan.

``Kita tentukan penuntut yang terdiri daripada orang Islam tidak cuba memaksa orang bukan Islam mengikuti cara hidup mereka, termasuk nak paksa orang bukan Islam pakai tudung dan sebagainya.

``Mereka akan dapat pelajaran yang sama dan dapat belajar bahasa ibunda mereka dan tidak ada tekanan seolah-olah mereka mesti terima adat resam dan cara-cara orang Islam,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat wakil rakyat Barisan Nasional di bangunan Parlimen di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai syor supaya kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran bagi mengukuhkan perpaduan kaum.

Menjelaskan mengenai sistem pendidikan satu aliran itu, beliau berkata sistem tersebut sebenarnya telahpun dipraktikkan di negara ini.

``Kita sudah pun ada sekolah satu aliran...banyak orang tak faham kita telah pun ada national school system (sistem sekolah kebangsaan),'' katanya.

Apa yang berlaku kemudian, menurut Dr. Mahathir ialah sekolah kebangsaan dilihat sebagai dikuasai oleh golongan yang cuba menjadikan sekolah itu sebagai sekolah agama Islam. ``Ini menyebabkan mereka (orang Cina dan India) tidak berminat untuk pergi ke sekolah kebangsaan,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, semasa kerajaan membentuk sistem sekolah kebangsaandahulu, sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil sudah pun ada.

Katanya, kerajaan memberi bantuan supaya sekolah aliran Cina dan Tamil itu tidak perlu ditutup dengan harapan penuntut mereka kelak akan menyertai sekolah kebangsaan.

Dalam hubungan ini, Dr. Mahathir berkata, kerajaan akan melatih lebih ramai guru bagi mengajar bahasa ibunda pelajar Cina dan Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan.

``Kita mahu mereka belajar bahasa ibunda mereka sendiri.

``Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara atau dunia yang membenarkan bahasa bukan bumiputera diajar dan digalak oleh kerajaan,'' kata beliau.

Ditanya mengenai Sekolah Wawasan, iaitu untuk mewujudkan sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan Tamil dalam satu kawasan, beliau berkata, kerajaan mencadangkan konsep tersebut tetapi orang politik sudah jadikannya satu isu.

``Apa juga yang kita buat, mereka buat isu politik dan mereka bawa soal perkauman dalam perkara ini,'' kata Dr. Mahathir.

Gesaan itu supaya diwujudkan sekolah satu aliran itu terbit daripada pengakuan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad bahawa sistem pendidikan di negara ini tidak begitu berkesan dalam mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Ekoran itu golongan akademik menyokong supaya sistem satu aliran itu diwujudkan bagi meletakkan landasan yang lebih kukuh ke arah menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Musa memberi reaksinya itu sebagai mengulas kenyataan Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew yang menyebut sistem pendidikan di Malaysia menjurus kepada perkauman sehingga sukar bagi kerajaan mengukuhkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum