Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 25 april 2001

Penyelidikan ...peralatan di universiti perdana jauh ketinggalan

Oleh ZULKIFLI BACHOK
MANA-mana universiti yang berhasrat menjadi universiti penyelidikan harus meningkatkan standard peralatan penyelidikannya terlebih dahulu.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Muhammad Yahaya mengakui bahawa radas dan peralatan penyelidikan di kebanyakan universiti perdana di negara ini masih jauh ketinggalan untuk menjadi pusat penyelidikan yang aktif, atau telah usang dimamah usia.

``Walaupun ada sesetengah universiti telah berusia lebih 30 tahun, tapi peralatan penyelidikan mereka masih di bawah standard yang diperlukan,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi baru-baru ini.

Baru-baru ini beberapa buah universiti tempatan berhasrat untuk meningkatkan pengambilan pelajar sarjana bagi mewujudkan suasana penyelidikan di universiti.

Universiti yang terlibat ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mengulas lanjut beliau berkata, para menyelidik memerlukan peralatan yang terkini dan lengkap bagi membantu menjalankan tugas mereka.

`` Antara alat-alat yang diperlukan ialah peralatan x-ray, mesih-mesin untuk menghasilkan semi konduktor dan peralatan bilik bersih yang mencukupi,'' ujarnya.

Dr. Muhammad berkata, penyediaan alat-alat tersebut memerlukan peruntukan yang besar.

``Peruntukan kira-kira RM1.5 bilion bagi tujuan aktiviti penyelidikan yang diluluskan oleh kerajaan pada tahun ini haruslah disalurkan bagi tujuan membeli peralatan-peralatan penyelidikan yang canggih,'' tambahnya.

Namun begitu, beliau yakin pelaburan yang dikeluarkan bakal memberi keuntungan yang besar kepada negara.

``Penyelidikan secara aktif dan berterusan akan menghasilkan produk yang berkualiti,'' kata Dr. Muhammad.

Menurut beliau lagi, ia juga akan mempercepatkan proses pengkomersialan ciptaan tempatan dan menggalakkan pengeluaran secara skala yang besar.

Penghasilan produk berkualiti secara besar-besaran katanya, akan meningkatkan jumlah eksport dan sekali gus meningkatkan kekayaan negara.

Dr. Muhammad berpendapat, selain peralatan yang mencukupi, bilangan pelajar ijazah sarjana mestilah ditingkatkan untuk memesatkan lagi kegiatan penyelidikan.

Beliau berkata, pelajar lepasan ijazah pertama di negara ini masih rendah.

``Kita kena tingkatkan jumlah pelajar sarjana sehingga 40 peratus berbanding kini, iaitu 16 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar universiti.

``Ini kerana, kita memerlukan tenaga penyelidik tempatan yang ramai,'' ujarnya.

Kekurangan tenaga tempatan katanya, menyebabkan negara bergantung kepada tenaga luar yang sekali gus akan meningkatkan kos penyelidikan.

Dr. Muhammad juga menolak dakwaan yang menyatakan peningkatan pelajar sarjana akan mengancam kedudukan pelajar prasiswazah.

``Perkara ini tidak wujud kerana bilangan pelajar ijazah sarjana muda pada sesetengah kursus melebihi penawaran terutamanya dalam kursus sains sosial.

``Sewajarnya pengambilan pelajar sarjana ditingkatkan bagi mengimbangi bilangan mereka yang terlalu ramai ini,'' ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan masih terdapat kursus-kursus yang memerlukan peningkatan pelajar peringkat sarjana pertama.

``Kita masih memerlukan bilangan pelajar ijazah sarjana muda yang ramai dalam kursus-kursus seperti kejuruteraan, teknologi maklumat dan perubatan.

``Ini bagi mengelakkan ketandusan penyelidik yang mempunyai pengetahuan asas dalam kursus-kursus tersebut,'' kata Dr. Muhammad.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum