Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Pensyarah ...tak baca buku tempatan

Oleh ZULKIFLI BACHOK
TABIAT membeli dan kurangnya minat membaca buku-buku ilmiah sains dan teknologi di kalangan pensyarah dan pelajar menyebabkan penjualan bahan bacaan tersebut terbantut.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman berkata, kajian menunjukkan hanya 27 peratus pensyarah membeli buku-buku ilmiah tempatan, manakala 62 peratus pula mengharapkan buku-buku dibeli oleh perpustakaan universiti.

``Kajian tersebut juga mendapati 41 peratus pensyarah tidak membaca langsung penerbitan ilmiah tempatan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk: Bahasa Melayu Dalam Penerbitan Buku Sains dan Teknologi: Harapan, Kenyataan dan Cabaran.

Kertas kerja itu dibentangkan pada Seminar Cabaran Penulisan Sains dan Teknologi Dalam Alaf Baru, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Seminar dianjurkan oleh Jawatankuasa Peristilahan Fizik Antara Universiti (JPFAU) dengan kerjasama DBP dan UKM.

Mengulas lanjut, A. Aziz menambah, budaya fotokopi yang diamalkan pelajar juga menyebabkan kadar jualan buku-buku ilmiah begitu perlahan. Selain itu kata Aziz, para pembaca lebih berminat untuk membeli bacaan ringan menyebabkan penjualan buku-buku ilmiah tidak menguntungkan, malah banyak yang terpaksa diberi subsidi.

``Keadaan ini menyebabkan penerbitan buku-buku ini dilakukan semata-mata untuk memenuhi tanggungjawab sosial,'' katanya.

Selain tabiat pembaca kata Datuk Aziz, satu lagi kekangan yang dihadapi dalam pemasaran buku-buku ilmiah ialah ketiadaan sistem maklumat yang boleh dicapai dengan mudah.

``Lantaran itu, kewujudan buku-buku tersebut dalam pasaran tidak diketahui ramai.

``Oleh kerana kos penerbitannya tinggi, peruntukan promosinya juga terhad,'' ujarnya.

A. Aziz kesal dengan penglibatan sektor swasta yang terbatas dalam memberikan penajaan penerbitan dan pembelian buku.

``Mereka lebih berminat menaja kegiatan bercorak hiburan dan sukan berbanding dengan kegiatan intelektual,'' tambahnya.

Halangan-halangan ini kata A. Aziz, menyebabkan penerbitan buku-buku sains dan teknologi di Malaysia masih jauh berkurangan berbanding dengan negara maju.

``Penerbit tidak bersungguh-sungguh menerbitkannya kerana beranggapan ia tidak akan laris di pasaran.

``Mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya sebab kos penerbitannya adalah tinggi, begitu juga risiko kerugiannya,'' jelasnya.

Bagaimanapun katanya, keuntungan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi tidak wajar dilihat dari sudut wang ringgit semata-mata.

``Ia perlu dilihat dari segi keberkesanannya dalam pembudayaan dan perkembangan fikiran bangsa. Keuntungan juga dilihat apabila bahasa Melayu dapat dikembang dan didaulatkan,'' tambahnya.

Dengan itu, kata beliau, para ilmuwan tidak harus berputus asa dalam menulis bahan-bahan ilmiah demi memastikan perkembangan ilmu tidak terbantut.

Menurut beliau lagi, penulisan bahan-bahan ilmiah ini seharusnya menjadi tanggungjawab sarjana-sarjana tempatan.

Beliau menambah, negara mempunyai ramai pakar dalam bidang sains gunaan, kejuruteraan, perubatan, pertanian dan lain-lain bidang profesional semenjak era 80-an dan 90-an. Malangnya kata beliau, kebanyakan mereka tidak aktif menulis.

``Ia merupakan kerugian besar kepada negara,'' ujarnya. Beliau menyarankan agar para sarjana tempatan menulis karya-karya asli mengikut kepakaran masing-masing.

``Bila buku itu ditulis dalam bahasa Melayu, ia secara tidak langsung akan mengembangkan bahasa kebangsaan kita,'' tambahnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum