Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Bahasa Melayu pinjam dialek Orang Asli

SEORANG pengkaji budaya dari Perancis mendakwa, beberapa patah perkataan bahasa Melayu sebenarnya berasal daripada dialek suku-suku kaum Orang Asli.

Kata Prof. Gerard Diffloth, dialek-dialek tulen mungkin merupakan pertuturan sejati pelbagai etnik masyarakat seperti kaum Temiar, Che Wong, Jahai, Kentak dan Semai - yang terdapat di seluruh Malaysia.

Menurutnya, sesetengah perkataan Melayu yang berasal daripada perkataan Orang Asli yang diguna pakai sehingga ke hari ini.

Beliau berkata demikian pada Kolokium Antarabangsa Kajian Umum Sumbangan Sarjana Perancis Dalam Pengajian Melayu di Sudut Wacana, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Kolokium pada kali ini lebih memfokuskan kepada budaya Melayu yang meliputi soal bahasa.

Kerjasama antara ATMA dengan sebuah institusi akademik antarabangsa itu membincangkan dengan lebih mendalam mengenai pemahaman terhadap asal usul, budaya, bahasa dan identiti pengetahuan, sejarah dan masyarakat di alam Melayu.

Turut dibentangkan ialah kajian-kajian ke atas dunia Melayu dari segi bahasa dan budaya hidup oleh pengkaji-pengkaji sejarah seawal abad ke-14.

Selain itu, kolokium ini mengetengahkan usaha dan sumbangan yang dilakukan oleh sarjana Perancis bagi mengembang dan memperluaskan bagaimana pemahaman orang-orang Eropah terhadap konsep `Alam Melayu' pada masa kini.

Program ini anjuran bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM dan Ecole Francaise d'Extreme-Orient (EFEO) Kuala Lumpur.

Kolokium siri kedua ini adalah kesinambungan daripada kolokium yang pertama iaitu Sumbangan Sarjana Belanda dalam Pengajian Melayu: Satu Nilai Kritikal yang telah diadakan pada November 2000.

Antara pembentang kertas kerja ialah cendekiawan Universiti London, United Kingdom, Prof. F. Verges, Prof. Gerard Diffloth (EFEO), Siem Reap (Cambodia) Dr. Dede Oetomo (Universiti Airlangga, Indonesia), Dr. Syed Farid Alatas, (Universiti Nasional Singapura) dan Dr. Mohd Zain Musa (UKM).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum