Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Isu kekosongan kuota di IPTA dianggap selesai - Musa

KUALA LUMPUR 9 Mei - Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad menganggap isu kekosongan kuota bumiputera di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah selesai walaupun menjangka isu itu akan tercetus kembali pada tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata, penjelasan yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Prof. Dr. Hassan Said semalam dan penerangannya di Parlimen hari ini sudah jelas bahawa kekosongan kuota pelajar bumiputera di IPTA tidak wujud.

Beliau bagaimanapun mengakui kementeriannya agak lewat menjelaskan perkara tersebut hingga tercetuskan kontroversi.

``Perkara ini telah selesai dan kami telah berusaha untuk mengatasi isu-isu yang dibangkitkan dengan memberi tempat sebanyak mungkin kepada para pelajar tercicir.

``Bagi saya, tidak perlu ada polemik, tiada ada apa yang hendak dijanjikan dan semua pihak perlu faham tentang kedudukan sebenar walaupun kami lewat membuat penjelasan,'' katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Dr. Hassan berkata, kekeliruan mengenai kuota bumiputera itu timbul berikutan ada pihak tersilap membuat kesimpulan berhubung jumlah sasaran dan jumlah sebenar yang berjaya ke IPTA pada sesi akademik 2001/2002 Mei ini.

Menurutnya, bilangan sebenar kemasukan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, diploma dan setaraf ke program ijazah pertama di IPTA ialah 39,197.

Mengulas lanjut, Musa berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan polemik itu akan timbul semula saban tahun kerana bilangan IPTA di seluruh negara tidak mampu menampung jumlah pemohon yang mahu melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Katanya, adalah mustahil IPTA menyediakan tempat kepada semua pelajar yang memohon melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti seluruh negara.

``Saya harap semua orang faham yang IPTA seluruh negara hanya menyediakan tempat mengikut bilangan berdasarkan kemampuan mereka iaitu dari segi kemudahan prasarana, bilangan pensyarah dan sebagainya,'' katanya.

Beliau berkata, jika masyarakat memahami isu itu, mereka tidak akan kecewa tetapi boleh mencari jalan lain untuk melanjutkan pelajaran iaitu melalui maktab, politeknik dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sekiranya tidak diterima masuk ke IPTA.

``Pihak kementerian menyediakan wang pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk kemudahan para pelajar yang gagal ke IPTA melanjutkan pelajaran ke IPTS,'' katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan aktif dalam kegiatan kokurikulum tidak mempunyai masalah untuk menempatkan diri di IPTA.

``Walaupun ada pelajar mempunyai keputusan akademik cemerlang yang sama tetapi kita perlu melihat juga keaktifan mereka di dalam kokurikulum,'' tambah beliau.

Sementara itu, beliau berkata, dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang 3 (RRJP3) dan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), pengambilan pelajar ke IPTA akan ditingkatkan.

``Jumlah pengambilan pelajar berumur 17 hingga 23 tahun melanjutkan pelajaran ke IPTA akan ditingkatkan daripada 25 peratus kepada 40 peratus menjelang 2010. Kita juga bercadang akan meningkatkan pengambilan hingga 50 peratus menjelang tahun 2020.

``Kita harap peningkatan ini menjadikan keadaan lebih reda. Saya guna perkataan reda kerana selagi kita tidak dapat menawarkan tempat 100 peratus perkara ini terus menjadi polemik. Saya tegaskan, tiada negara mampu menyediakan tempat 100 peratus untuk rakyat melanjutkan pelajaran ke IPTA,'' katanya.

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum