Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

3M tidak berkesan -- Guru SK terlalu terikut huraian sukatan pelajaran berbanding SJKC

GENTING HIGHLANDS 10 Mei - Kaedah dan bahan pengajaran membaca, menulis dan mengira (3M) yang kurang berkesan di sekolah kebangsaan (SK) berbanding sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menjadi punca utama prestasi pelajar Melayu lemah di peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Isahak Harun berkata, kaedah yang diajar di SK juga lebih menyusahkan murid untuk memahami dan belajar dengan cepat.

Beliau yang merupakan ketua kepada sekumpulan 10 penyelidik dari IPTA menjalankan kajian berhubung pencapaian akademik pelajar Melayu pada tahun lalu berkata, hasil kajian mendapati guru-guru di SJKC tidak terikat dengan kaedah dan bahan pengajaran yang telah ditetapkan oleh sukatan mata pelajaran.

Jelasnya, guru-guru di SJKC lebih bebas memilih kaedah pengajaran, buku kerja dan cara menguji serta menilai murid-murid mereka.

``Guru di SK terlalu terikut dengan huraian sukatan pelajaran yang telah diseragamkan sehingga tidak mengambil kira keperluan pelajar yang pelbagai kebolehannya.

``Misalnya, semua pelajar menggunakan buku teks yang sama tetapi buku teks itu mungkin sesuai untuk pelajar sederhana sahaja,'' katanya kepada Utusan.

Beliau menyatakan demikian semasa ditemui pada majlis penutup Kolokium Pemajuan Akademik Pelajar Melayu di Institusi Pengajian Tinggi di sini, hari ini.

Menurut Isahak, kajian itu juga mendedahkan bagaimana guru di SK mengambil masa sehingga tiga bulan untuk mengajar penggunaan angka 1 sehingga 10 dalam Matematik di kalangan murid tahun 1, 2 dan 3, sedangkan guru di SJKC yang mengajar perkara yang sama cuma mengambil masa sebulan sahaja.

Katanya, pada peringkat itu, murid di SJKC mulai meninggalkan murid Melayu dari segi prestasi dan pencapaian akademik.

Beliau menegaskan, asas murid Melayu yang lemah itu jika tidak diperbaiki akan dibawa ke sekolah menengah.

``Lama kelamaan kelemahan itu akan bertimbun dan timbunan itu pula akan dibawa ke peringkat IPTA,'' jelasnya.

Berikutan itu, Isahak berkata, kaedah dan bahan pengajaran di SK perlu disusun semula dan diperbaiki.

Tanpa penyusunan semula itu, katanya, prestasi pelajar Melayu di IPTA akan jauh ketinggalan berbanding pelajar bukan bumiputera.

Ini kerana, katanya, asas akademik yang lemah di kalangan pelajar Melayu akan menyukarkan mereka bersaing dan mengatasi pelajar bukan bumiputera.

Kajian yang dibentangkan kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad pada 10 Mac tahun lalu turut mencadangkan supaya satu jabatan atau Direktorat Pendidikan Rendah di bawah kementerian itu ditubuhkan.

Katanya, peranan utama jabatan itu ialah meningkatkan keberkesanan pengajaran-pembelajaran di SK.

``Mungkin beberapa buah SK diserahkan kepada Majlis Amanah Rakyat untuk dijadikan alternatif kepada pengendalian SK sekarang,'' katanya.

Selain itu, katanya, langkah memperbaiki prestasi pelajar Melayu dalam Matematik dan Sains tidak boleh dibuat secara `gerak gempur' sahaja.

Jelasnya, apa yang penting ialah perancangan dan tindakan sistematik dari peringkat sekolah rendah sehingga sekolah menengah untuk mengukuh pembelajaran Matematik dan Sains.

Mengenai faktor lain kelemahan pelajar Melayu, Isahak berkata, pelajar Melayu tidak tahu memilih kombinasi subjek ketika memasuki tingkatan empat.

Menurutnya, kesilapan dalam membuat pilihan itu akhirnya mempengaruhi keputusan peperiksaan sekali gus memudarkan minat mereka untuk belajar.

Beliau juga berkata, faktor lain kelemahan pelajar Melayu di IPTA ialah mereka tidak segera mengulang kaji pelajaran sebaik sahaja kuliah selesai.

Oleh: ROHANA MAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum