Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Mata pelajaran Sains bagi murid tahun satu

KOTA BHARU 10 Mei - Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan mata pelajaran Sains di kalangan murid tahun satu mulai tahun depan sebagai langkah awal menimbulkan minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Ketua Pengarah Pendidikan, Abdul Rafie Mahat berkata, ia akan melibatkan kira-kira 500,000 murid darjah satu yang akan memulakan persekolahan mereka awal tahun depan.

Beliau berkata, ketika ini mata pelajaran Sains yang dahulunya diserapkan dalam mata pelajaran alam dan manusia telah diperkenalkan semula di kalangan murid darjah empat, termasuk menjadikannya sebagai mata pelajaran dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

``Jadi kita melihat bahawa untuk mencapai tahap 60:40 aliran sains, kita faham bahawa minat pada sains itu mesti diperkenalkan lebih awal.

``Maka kita akan melaksanakan ini dari darjah satu lagi,'' katanya selepas merasmi dan menyampaikan ucaptama pada Seminar Pendidikan Nasional di Hotel New Pacific di sini, hari ini.

Menurut Abdul Rafie, langkah kementerian memperkenalkan mata pelajaran Sains di kalangan murid seawal darjah satu adalah antara usaha yang diambil bagi meningkatkan minat bidang sains dan teknologi di kalangan pelajar, sekali gus dapat menyediakan tenaga kerja mahir negara ke arah mencapai wawasan 2020.

Beliau berkata, pihak kementerian sudah bersedia untuk menjayakan dasar baru itu termasuk dari aspek guru dan juga bahan pembelajaran dan pengajaran murid-murid.

Katanya, tumpuan utama juga akan diberikan kepada aspek peningkatan kemahiran guru dan kemudahan pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah termasuk penyediaan kelengkapan makmal sains.

Selain itu, katanya fokus utama akan diberikan kepada aspek pengambilan guru melibatkan bidang-bidang utama seperti Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) pada masa hadapan.

``Semua ini akan kita laksanakan apabila kita sudah jelas kedudukan dan ke mana kita nak bawa aliran pendidikan kita,'' katanya.

Katanya, kementerian juga akan memberikan fokus untuk memperkasa sekolah-sekolah luar bandar dalam usaha menyamakan prestasi mereka dengan sekolah bandar pada semua aspek termasuk membawa masuk lebih banyak kemudahan pembelajaran dan pengajaran.

Menyentuh tentang perkembangan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, Abdul Rafie berkata, pihak kementerian akan mempertingkatkan program latihan di kalangan guru dalam perkhidmatan dan pra perkhidmatan, termasuk memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan kebajikan mereka.

Pendekatan untuk meningkatkan kemahiran dan pengajaran bahasa Inggeris juga akan dibuat melalui program latihan dan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah, katanya.

``Kita juga bercadang untuk mempertingkatkan usaha-usaha untuk melatih jurulatih Bahasa Inggeris dalam negeri dan ke luar negeri,'' ujar beliau.

>

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum