Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Tiada masalah laksana kuota 66% bumiputera

PUTRAJAYA 10 Mei - Kementerian Pendidikan tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan kuota kemasukan bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada kadar 66 peratus sebagai menggambarkan komposisi sebenar kaum di negara ini.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad bagaimanapun berkata, pihaknya perlu mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Selain itu, katanya, pandangan bukan bumiputera yang akan merasa kehilangan jika kuota itu ditingkatkan kepada 66 peratus, juga perlu diambil kira.

``Jika ia hendak diubah, pandangan parti-parti politik BN serta masyarakat perlu diambil kira supaya dapat kita ambil iktibar daripadanya tetapi keputusannya sudah tentu melibatkan perbincangan dan persefahaman yang wujud di kalangan mereka,'' katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di sini, hari ini.

Musa mengulas pandangan beberapa ahli akademik yang meminta kerajaan mengkaji semula kuota kemasukan pelajar ke IPTA supaya mencerminkan keadaan sebenar komposisi kaum.

Mereka berpendapat kuota 55 peratus untuk bumiputera dan 45 peratus untuk bukan bumiputera yang dilaksanakan sekarang dibuat berdasarkan nisbah kaum ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) digubal lebih 30 tahun lalu.

Berdasarkan bancian penduduk tahun lalu, kuota kemasukan bumiputera ke IPTA sepatutnya ditingkatkan kepada 66 peratus untuk bumiputera dan 34 peratus bagi bukan bumiputera.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum