Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Mesyuarat MPPK lambang semangat musyawarah

PUTRAJAYA 10 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, mesyuarat pertama Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) hari ini secara keseluruhannya berlangsung dalam suasana yang baik, melambangkan semangat musyawarah yang tinggi di kalangan para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Para pelajar, jelas Timbalan Perdana Menteri, bersikap positif dalam membincangkan pelbagai perkara termasuk isu sosial, ekonomi serta pendidikan apabila mereka diberi peluang untuk mengemukakan pandangan.

``Saya amat gembira kerana kualiti perbahasan dalam perbincangan ini amat tinggi dan ahli-ahli yang mengambil bahagian dapat mengemukakan hujah mereka, dengan maklumat itu saya beri jaminan hasil mesyuarat ini akan dimasukkan dalam satu laporan dan akan disampaikan kepada jemaah menteri,'' katanya di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPPK yang turut dihadiri oleh para perwakilan pelajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Mesyuarat yang bermula pukul 11 pagi dan berakhir pada pukul 6 petang itu juga turut disertai Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad selaku Timbalan Pengerusi MPPK dan Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Datuk Mustapa Mohamed.

Timbalan Perdana Menteri juga telah meluangkan masa untuk makan tengah hari dan bersembahyang zohor bersama para pelajar.

Abdullah berkata, mesyuarat tersebut telah membincangkan beberapa isu termasuk mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sistem pendidikan negara, ekonomi, gejala sosial dan soal perpaduan nasional,

Mengenai PTPTN, kata Abdullah, kabinet akan membuat keputusan muktamad mengenai penghapusan atau pengurangan kos perkhidmatan empat peratus bagi pinjaman PTPTN setelah meneliti laporan mesyuarat MPPK yang akan dibentangkan dua minggu lagi.

Beliau berkata, para pelajar telah menyatakan kesukaran mereka untuk membayar balik pinjaman yang mengenakan kos perkhidmatan sebanyak empat peratus itu dan mahu ia dikaji semula.

Selain itu, katanya, pelajar mahu keberkesanan pentadbiran PTPTN di pertingkatkan lagi supaya para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan wang pinjaman itu.

Menurut beliau, ini kerana kelewatan mendapatkan wang pinjaman tersebut menyebabkan para pelajar menghadapi masalah untuk menjelaskan urusan pembayaran yuran tertentu bagi meneruskan pelajaran mereka.

Abdullah berkata, pada mesyuarat itu juga, para pelajar telah mendapat maklumat tambahan mengenai perkara-perkara yang menimbulkan keraguan di kalangan mereka mengenai sistem pendidikan negara.

Selain itu, katanya, seorang ahli MPPK dari Terengganu telah membangkitkan isu wang ehsan dan mahu ia dibelanjakan untuk rakyat Terengganu kerana ia hak negeri itu.

``Saya telah memberi jaminan keseluruhan wang itu akan dibelanjakan untuk rakyat Terengganu,'' ujarnya.

Mengenai isu ekonomi semasa, kata beliau, para pelajar dijelaskan tentang rasionalnya pendekatan kerajaan dalam menangani krisis mata wang.

Abdullah menambah isu pekebun kecil turut dibincangkan berikutan masalah yang dihadapi oleh petani yang masih menghadapi kesempitan wang walaupun bantuan telah diberikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat MPPK itu akan diadakan sekurang-kurangnya tiga atau empat kali dalam setahun iaitu sebelum bermulanya penggal pengajian di IPT.

Oleh: ROSNI HASSAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum