Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Matrikulasi -- Pencapaian lebih rendah berbanding STPM

Oleh ZULKIFLI BACHOK
SATU Kajian Penilaian Pencapaian Pelajar Matrikulasi Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati prestasi pelajar Matrikulasi UUM sentiasa lebih rendah berbanding prestasi para pelajar berketurunan Cina lepasan STPM.

Menurut para pengkaji dan penulis kajian itu, Bidin Yatim, Sharipah Soaad Syed Yahaya dan Nor Azilah Ngah, mereka (para pelajar matrikulasi) juga tidak dapat menandingi prestasi kumpulan pelajar berketurunan Cina yang mempunyai kelayakan SPM yang lebih rendah.

``Prestasi pelajar berketurunan Cina juga lebih baik berbanding para pelajar Matrikulasi Ekspres yang dikategorikan sebagai pelajar Matrikulasi demikian,'' kata mereka.

Mereka berkata demikian ketika membentangkan kajian tersebut pada Kolokium Pemajuan Akademik Pelajar Melayu di Universiti, di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.

Kajian itu mendapati prestasi pelajar Matrikulasi hanya memuaskan pada semester pertama.

Mereka berkata, walaupun kebanyakan kursus yang ditawarkan pada awal pengajian di UUM telah didedahkan semasa di Matrikulasi, tapi mereka masih tidak dapat bersaing dengan pelajar berketurunan Cina yang tidak mendapat pendedahan seumpama itu.

Tambah para pengkaji itu, dengan pendidikan asas yang sepatutnya telah mantap, mereka seharusnya mampu bersaing kerana penawaran mata pelajaran di matrikulasi adalah berasaskan keperluan khusus program ijazah di UUM.

``Kita tidak nafikan mungkin ada pelajar lepasan STPM yang telah didedahkan dengan mata pelajaran berkait dengan program Pengurusan dan Perakaunan semasa di peringkat STPM.

``Tetapi kajian mendapati mereka yang mengikuti program Teknologi Maklumat yang tidak pernah mendapat latihan dalam bidang tersebut bukan sahaja cemerlang dalam keputusan mereka, bahkan mengekalkan prestasi pada setiap semester,'' ujar mereka.

Kajian tersebut juga mendapati para pelajar Matrikulasi lebih mudah berpuas hati dengan keputusan yang mereka peroleh.

Menurut penulis kajian, kebanyakan mereka tidak berusaha gigih dan berpuas hati dengan kelayakan minimum purata mata gred kumulatif (PMK) 2.00 sahaja.

``Ini kerana mereka tidak perlu bersaing untuk memastikan tempat di peringkat ijazah kerana tiada kuota yang menyekat kemasukan mereka,'' tambah penulis.

Kajian tersebut juga menolak andaian yang menyatakan bahawa kelemahan para pelajar Matrikulasi berpunca daripada latar belakang kemasukan yang tidak memuaskan.

``Dengan memastikan latar belakang akademik pelajar yang dikaji setara, penemuan kajian ini menunjukkan tidak terdapat perbezaan kemampuan kognitif di antara pelajar Matrikulasi dan pelajar lepasan STPM,'' kata mereka.

Mereka menambah, penemuan bahawa faktor kognitif tidak mempunyai hubungan dengan prestasi menguatkan lagi dakwaan bahawa tahap kognitif mereka adalah setara walaupun terdapat perbezaan prestasi yang ketara antara kedua-dua kumpulan pelajar yang dikaji.

``Malah, kami dapati kebanyakan pelajar Matrikulasi lebih panjang akal daripada pelajar Cina STPM, dengan ini jelas menunjukkan pelajar Matrikulasi bukan daripada golongan yang lemah,'' ujar mereka.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum