Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

UiTM ambil 16,587 pelajar baru

Oleh SALINA IBRAHIM
SERAMAI 16,587 pelajar baru dijangka mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mulai 14 Mei ini.

Pendaftaran akan berjalan serentak di 14 cawangan seluruh negara termasuk UiTM induk di Shah Alam, Selangor.

Menurut Penolong Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, daripada jumlah tersebut, seramai 7,307 pelajar mendaftar di Shah Alam, dan selebihnya di cawangan-cawangan.

Katanya lagi, seramai 5,900 pelajar baru di Shah Alam akan menikmati kemudahan kolej kediaman.

``Sementara di cawangan pula, kesemua mereka ditempatkan di kolej kediaman,'' katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, pengambilan pelajar bagi sesi Mei kali ini tidak banyak berbeza berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa ada pelajar yang gagal mendapat tawaran walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu.

``Ini disebabkan persaingan sengit dan jumlah yang memohon begitu ramai,'' ujarnya.

Katanya, pemilihan dibuat berdasarkan sistem merit yang bukan saja memberikan keutamaan kepada kecemerlangan akademik tetapi juga kegiatan kokurikulum.

Bagaimanapun beliau menasihatkan pelajar yang gagal agar tidak kecewa di samping menggalakkan mereka mengemukakan permohonan bagi kemasukan sesi Disember nanti.

Jelas beliau lagi, antara kursus yang popular dan mendapat perhatian tinggi daripada pelajar ialah Sains Komputer, Perakaunan dan Undang-undang.

Selama seminggu, pelajar akan didedahkan kepada selok-belok dunia kampus melalui program Minggu Wawasan yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dengan bantuan kolej kediaman, persatuan-persatuan dan HEP sendiri, katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum