Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

ICT perlu diserap dalam kurikulum pendidikan

Oleh: MOHD RIDZWAN MD IMAN
MICROSOFT berpendapat pendidikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perlu diserapkan dalam kurikulum persekolahan agar Malaysia mampu menjadi negara maju dan melaksanakan ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi).

Pengarah urusan, Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd., Butt Wai Choon berkata, sekarang merupakan masa yang sesuai untuk melaksanakan langkah-langkah tersebut terutamanya dalam Rancangan Malaysia Ke-lapan (RMK-8).

Katanya, usaha menyerapkan ICT ke dalam sektor pendidikan akan dapat menghasilkan golongan guru dan pelajar yang bijak komputer dan seterusnya menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi di masa depan.

``Ia merupakan titik peralihan yang kritikal dalam pendidikan di negara ini apabila ICT disepadukan ke dalam kurikulum pendidikan, memandangkan keperluannya dalam persekitaran pekerjaan masa kini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Megabait sebagai mengulas mengenai pembentangan RMK-8 oleh kerajaan baru-baru ini yang memberi penekanan kepada pembangunan ICT.

Wai Choon berkata, usaha dan pelaburan yang dilaksanakan kepada pelajar generasi sekarang akan boleh dituai dalam bentuk guna tenaga mahir di tahun 2020 dan menjadi penggerak wawasan negara.

Katanya, peruntukan khas untuk sekolah-sekolah pedalaman pula akan memberi peluang sama rata dan mengurangkan jurang perbezaan antara pelajar di kawasan tersebut dengan di bandar.

Beliau juga berkata, RMK-8 jelas membuktikan sebagai rancangan yang akan menggerakkan projek Koridor Raya Multimedia (MSC) kepada gear ke-empat.

Katanya, peruntukan sebanyak RM1.82 bilion untuk pelaksanaan projek aplikasi perdana MSC akan membawa MSC kepada fasa seterusnya bagi projek tersebut.

``Malahan, jika ia disertai dengan rancangan agresif untuk mengeksport perisian dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran antarabangsa, usaha kerajaan akan memastikan pertumbuhan berterusan di samping menarik pelaburan dan pekerja mahir asing ke negara ini,'' tambahnya.

Beliau berkata, semua pihak yang memainkan peranan dalam ekonomi negara akan merasa kesan daripada pelaksanaan pelan tersebut dan seterusnya membantu membentuk masyarakat dan perniagaan berasaskan k-ekonomi.

``Adalah suatu yang menggalakkan apabila melihat RMK-8 juga memberi penekanan kepada isu perlindungan hak cipta dan kandungan kreatif,'' tambahnya.

Katanya, perkara tersebut merupakan elemen penting dalam pembangunan k-ekonomi, bukan sahaja dalam industri perisian tetapi juga dalam pembangunan kandungan kreatif seperti wayang gambar, muzik dan reka bentuk.

Beliau juga berkata, RMK-8 yang memberi penekanan kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat multimedia serantau akan memberi kesan kepada peningkatan teknologi dalam pelbagai sektor di negara ini.

``Melahir dan membangunkan syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SKS) dalam ICT juga perlu diberi keutamaan untuk memastikan industri tersebut menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan negara,'' katanya.

Peruntukan sebanyak RM5.2 bilion dalam projek dan program berasaskan ICT membuktikan industri tersebut akan terus memainkan peranan yang utama dalam pertumbuhan ekonomi di negara ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum