Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Kaedah 3M: Kementerian sedia terima cadangan

SEREMBAN 11 Mei - Kementerian Pendidikan bersedia meneliti sebarang cadangan untuk mengemas kini kurikulum pendidikan sedia ada termasuk kaedah membaca, menulis dan mengira (3M) jika terbukti menjadi punca prestasi pelajar Melayu lemah di peringkat universiti.

Timbalan Menterinya, Datuk Hon Choon Kim berkata, kementerian bersikap terbuka untuk meneliti sebarang kelemahan terhadap sistem pendidikan negara.

``Ini untuk memastikan tidak ada jurang antara sekolah di negara ini dan kita akan mengenal pasti mana kelemahannya,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan sumbangan komputer kepada Perpustakaan Pekan Mantin, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan hari ini bahawa kaedah dan bahan pengajaran 3M yang kurang berkesan di sekolah kebangsaan (SK) berbanding sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menyebabkan pelajar Melayu lemah di peringkat universiti.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Ishak Harun berkata, kaedah yang diajar di sekolah kebangsaan juga lebih menyusahkan murid untuk memahami dan belajar dengan cepat.

Bagaimanapun Hon memberitahu, kementeriannya akan meneliti terlebih dahulu kenyataan tersebut kerana SJKC menggunakan kurikulum yang sama dengan sekolah aliran lain.

``Saya tidak nampak ada perbezaan sistem pembelajaran yang diajar di SK dan SJKC kerana setiap pelajar dilatih oleh guru yang sama, lulusan daripada maktab perguruan atau universiti,'' ujarnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum