Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Program matrikulasi perlu distruktur semula

KUALA LUMPUR 11 Mei - Kementerian Pendidikan perlu menstruktur semula program matrikulasi dengan menawarkan tempoh pengajian lebih anjal kepada pelajar bumiputera bagi memastikan mereka benar-benar bersedia memasuki universiti.

Tokoh pendidik, Tan Sri Awang Had Salleh berkata, program matrikulasi selama dua tahun yang dijalankan sekarang boleh dikekalkan kepada kelompok pelajar yang amat cemerlang.

Kelompok lain yang mempunyai kelemahan tertentu misalnya penguasaan Bahasa Inggeris dan subjek Sains bagi pelajar luar bandar, diberi tempoh pengajian yang lebih panjang.

``Dengan memanjangkan tempoh persediaan memasuki universiti, lebih banyak masa untuk mereka memperbaiki tahap pencapaian akademik masing-masing.

``Ini mengelakkan pelajar yang mempunyai kelemahan tercungap-cungap mengejar pelajar cemerlang jika diletakkan dalam kelompok yang sama, serta menghindar risiko terpaksa mengulang tahun pengajian,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mendapatkan ulasan mengenai isu kuota pelajar bumiputera di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Walaupun Kementerian Pendidikan menjelaskan tidak wujud kekosongan kuota pelajar bumiputera di IPTA seperti didakwa oleh beberapa pihak, sesetengah pihak masih mempersoalkan kualiti calon yang berjaya memasuki institusi berkenaan.

Bagi Awang Had, adalah lebih baik bagi pelajar bumiputera terlewat sedikit menggenggam ijazah kerana menghabiskan masa di peringkat persediaan daripada terkandas dalam pengajian di universiti.

Menurutnya, dalam keadaan wujud kekosongan pada kuota pelajar bumiputera, ia boleh diisi oleh pelajar bukan bumiputera yang berkelayakan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan melonggarkan kuota pelajar bumiputera itu tidak harus dijadikan satu dasar oleh kerajaan tetapi sekadar pengecualian untuk tahun yang berlaku kekosongan sahaja.

Bekas Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM), Datuk Mansor Salleh pula berkata, pelajar bumiputera yang mengikuti program matrikulasi di universiti perlu mendapat pengawasan yang cukup seperti di asrama penuh bagi menjamin kejayaan mereka.

Dengan menetapkan tempoh penjagaan terhadap pelajar terbabit, katanya, mereka akan dilatih supaya berdisiplin dalam mengurus diri dan pengajian mereka di universiti.

Sementara itu, tokoh guru, Datuk Dr. Yahya Ibrahim mahu kerajaan memberi penekanan yang seimbang terhadap institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) agar menjadi pilihan pelajar melanjutkan pelajaran mereka.

Menurutnya, kebanyakan pelajar hanya menjadikan IPTS sebagai pilihan terakhir selepas gagal memasuki IPTA atau melanjutkan pengajian di luar negara.

``Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana kualiti pendidikan yang ditawarkan di IPTS tempatan setanding IPTA malah perbelanjaannya pula jauh lebih rendah daripada belajar di universiti luar negara,'' katanya.

Berdasarkan jumlah pelajar yang layak memasuki universiti semakin meningkat setiap tahun, beliau merasakan tidak wajar lagi keutamaan mendapatkan pendidikan tinggi ditumpukan kepada IPTA yang menawarkan tempat yang terhad.

Dalam keadaan ini juga, katanya, dasar universiti masih sama iaitu pemilihan dibuat berdasarkan 90 peratus kelayakan akademik dan 10 peratus penyertaan dalam kegiatan kokurikulum.

Disebabkan itulah, beliau memberitahu setiap pelajar yang memohon memasuki IPTA diminta mengemukakan sehingga lima pilihan kursus.

Bagaimanapun, menurutnya, masalah tempat di IPTA akan timbul apabila kebanyakan pelajar cemerlang berlumba-lumba memohon kursus popular di universiti pilihan masing-masing.

``Kalau mereka masih tidak berganjak daripada pilihan pertama, inilah masalahnya,'' kata beliau.

Justeru Dr. Yahya berkata, sudah sampai masanya IPTS tempatan diberi perhatian sebagai institusi pilihan pelajar cemerlang sama ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum