Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Kolej Legenda mohon naik taraf universiti

KUALA LUMPUR 11 Mei - Kolej Legenda (KL) akan memohon untuk menaikkan taraf institusi pengajian berkenaan bertaraf universiti apabila kampus tetapnya berharga RM700 juta di Mantin, Negeri Sembilan siap tidak lama lagi.

Rektornya, Dr. Kamis Awang berkata, apabila siapnya kampus berkenaan (tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia) institusi pendidikan berkenaan akan bertukar kepada Universiti Teknologi Legenda.

``Kita berharap dengan siapnya kampus ini, KL akan menjadi sebuah institusi pengajian tinggi tempatan terkemuka di negara ini dalam bidang Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT),'' katanya kepada Utusan dalam satu pertemuan di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, ekoran dari siapnya kampus berkenaan juga, fokus pendidikan di KL akan bertukar menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang mengeluarkan tenaga mahir dalam bidang perisian dan perkakasan terkemuka di negara ini.

Apabila siap nanti kampus ini mampu menampung seramai 30,000 pelajar.

``Kita akan memulakan langkah ini kerana pada masa kini Malaysia begitu kekurangan dalam kedua-dua bidang ini iaitu perisian dan perkakasan setelah negara telah menetapkan mahu menjadi negara terkemuka dalam bidang ICT,'' tegasnya.

Untuk itu, katanya, kampus tetapnya di Mantin nanti akan dilengkapkan dengan keupayaan fiber optik supaya setiap pelajar mempunyai komputer sendiri bagi mencapai tahap kemajuan yang memberangsangkan dalam bidang berkenaan.

``Matlamat kita ialah satu pelajar satu komputer,'' katanya.

Di samping itu juga bilangan pelajarnya akan ditingkatkan dari 2,000 pada masa kini kepada 4,000 orang pada bulan Jun 2001.

Tenaga pengajar kolej ini terdiri daripada mereka yang berkelayakan tinggi dalam bidang masing-masing.

``Kita mungkin mengambil tenaga pengajar dari India untuk memperkukuhkan dalam pendidikan perisian ini kerana negara berkenaan mempunyai ramai tenaga mahir dalam bidang ini,'' katanya.

Dr. Kamis berkata, pada masa kini, KL mempunyai dua kampus iaitu di Pekan Kuah dan Padang Matsirat di Langkawi. Katanya, KL mengadakan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang lengkap dengan kemudahan pelajaran dan pembelajaran yang moden dan penginapan yang selesa.

``Kami mementingkan suasana pembelajaran yang selesa ini untuk membina sahsiah dan peribadi individu yang akan menjadi aset kepada agama, bangsa dan tanah air,'' katanya.

Mengenai kursus-kursus yang ditawarkan, Dr. Kamis berkata, Pusat Kerjasama UTM-KLL menawarkan program yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Lembaga Akreditasi Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam di peringkat sijil, diploma dan ijazah.

``Mutu program, transkrip peperiksaan adalah dikawal selia oleh UTM sepenuhnya,'' katanya.

Antara kursus yang ditawarkan ialah Integrasi Sains Komputer (program diploma dan ijazah selama 4 tahun), Diploma Sains Komputer (teknologi maklumat 3 tahun), Diploma Kejuruteraan Elektronik 3 tahun, Diploma Pengurusan Teknologi, Perakaunan 3 tahun dan pradiploma selama 6 bulan.

Dr. Kamis menegaskan, terdapat lima sebab mengapa Kolej Legenda dijadikan pilihan oleh pelajar kerana semua kursus dan kelayakan Pusat Kerjasama UTM-Kolej Legenda Langkawi diiktiraf oleh kerajaan dan diluluskan oleh Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

Di samping itu, pusat kerjasama ini mempunyai kemudahan penginapan yang lengkap dan selesa dan semua pelajar dikehendaki tinggal di dalam kampus sepanjang tempoh pengajian.

Katanya, setiap pelajar kolej yang layak akan memperolehi pinjaman untuk membiayai pengajian mereka, peluang para graduan ini diterima baik oleh majikan di sektor awam dan swasta dan pelajar yang gagal dibenarkan mengulang semester tersebut secara percuma.

``pelajar perlu membayar RM500 (yuran pengajian dan yuran peperiksaan) sahaja,'' katanya.

Untuk keterangan lanjut mengenai Kolej Legenda boleh menghubunginya di Pejabat Urus Setia Pengambilan Pelajar, Lot 1.01, Tingkat 1, Plaza Uncang Emas, 85, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Telefon 03-9200 8335 atau di Jalan Sri Legenda, Pekan Kuah, Langkawi dan juga di Jalan Kuala Muda, Padang Mat Sirat, Kedah, Darul Aman.

Oleh: ABDUL RAZAK DIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum