Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Utusan anjur seminar SPM di seluruh negara

IPOH 11 Mei - Kumpulan Utusan menerusi anak syarikatnya, Utusan Publication & Distributor (UP&D) Sdn. Bhd., mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Kecemerlangan SPM 2001 yang terbesar di negara ini yang membabitkan 12 buah negeri.

Apa yang menarik, konsep seminar anjuran UP&D itu berbeza daripada seminar SPM yang dianjurkan banyak pihak kerana ia lebih menumpukan kepada teknik dan petua menghadapi peperiksaan dan bukannya teknik menjawab soalan sahaja yang kerap ditekankan.

Pengerusi Urus Setia Penganjur, Wan Mokhtar Wan Hassan berkata, usaha menganjurkan seminar ini mendapat kerjasama dan sokongan kuat daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Jabatan Pendidikan Negeri yang terbabit.

``Perak merupakan negeri pertama kita anjurkan seminar ini kerana bukan saja mendapat sokongan daripada kedua-dua pihak itu tetapi juga daripada Puspanita Negeri Perak dan Yayasan Perak. Selepas ini seminar yang sama akan diadakan di Melaka, Johor dan Kelantan sebelum ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian seminar tersebut yang disempurnakan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Zawawi Md. Zin sebagai mewakili Datuk Abdul Aziz Shamsuddin di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia, Tan Sri Dr. Wan Zahid Noordin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Pengarah Eksekutif UP&D, Roselina Johari.

Menurut Wan Mokhtar, tumpuan seminar ini ialah kepada pelajar-pelajar luar bandar dan bilangannya terhad kepada 300 pelajar bagi satu negeri. Ia dikendalikan Pensyarah Maktab Perguruan Ipoh, Dr. Ismail Zain.

Katanya, UP&D begitu komited dalam menganjurkan seminar tersebut tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana mendapat penajaan daripada pihak swasta seperti Staedtler Marketing Sdn. Bhd., Bata Marketing Sdn. Bhd. dan Nestle Products Sdn. Bhd.

Sementara itu, Roselina ketika berucap pada majlis perasmian seminar tersebut menegaskan, penglibatan Kumpulan Utusan menganjurkannya adalah sebagai satu sumbangan kepada masyarakat dengan turut sama membantu golongan pelajar SPM menghadapi peperiksaan dengan cara yang terbaik.

``Berdasarkan keyakinan inilah, kami di Kumpulan Utusan melalui UP&D dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia telah merancang, meneliti dan menilai apakah cara yang terbaik untuk menyumbang kepakaran yang kami miliki bagi sama-sama membantu pihak Kementerian Pendidikan, ujarnya.

Menerusi seminar itu, katanya, Kumpulan Utusan tidak menekankan berkaitan cara untuk menjawab soalan atau meramal soalan yang akan keluar dalam peperiksaan sebaliknya persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan.

``Itu bukanlah cara kami untuk membantu menjadi pelajar cemerlang tetapi lebih memfokuskan kepada bagaimana untuk melahirkan dan menjadi pelajar cemerlang,`` tegasnya.

Oleh: MOHD. TAUFEEK RAZAK

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum