Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

PM ingatkan guru-guru -- Jangan belakangkan agenda negara sungguhpun punyai pandangan berbeza

MELAKA 16 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mahu para guru bersikap profesional dalam melaksanakan arahan serta dasar kerajaan dan tidak membelakangkan agenda negara sungguhpun mereka mempunyai pandangan yang berlainan.

Perdana Menteri kecewa kerana perkara-perkara yang kurang menyenangkan sudah mula muncul dalam sekolah dan institusi pendidikan kerana pengaruh negatif yang meresap di kalangan sesetengah guru termasuk dakwaan kerajaan sekarang tidak sempurna dan tidak Islam.

Sementara anggota pentadbiran boleh memiliki pandangan yang berbeza daripada kerajaan, Dr. Mahathir ketika berucap pada sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini malam ini menegaskan ia tidak harus mempengaruhi kerja yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Dalam keadaan kekeliruan yang berlaku sekarang, Perdana Menteri berkata, guru sebagai pendidik yang terlatih boleh menjelaskan nilai yang patut dipegang oleh masyarakat dalam usaha membentuk generasi yang berperibadi mulia.

``Saya yakin masyarakat guru di Malaysia mempunyai cukup kebolehan untuk menanggung kedua-dua beban iaitu melengkapkan generasi akan datang dengan secukup ilmu dunia dan akhirat, dan membentuk peribadi mulia yang mampu menangani cabaran hidup dalam dunia tanpa sempadan.

``Janganlah sesiapa cuba memutarbelitkan kenyataan saya ini kerana ia adalah satu pengkhianatan kepada agama, bangsa dan negara,'' katanya.

Pada majlis itu, Dr. Mahathir turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2001 kepada lima orang bekas guru.

Kira-kira 2,000 guru dari seluruh Malaysia hadir pada pelancaran sambutan hari tersebut. Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad serta Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam.

Menurut Perdana Menteri lagi, beliau percaya warga pendidik yang prihatin dapat mengasuh dan menyemai kualiti yang boleh memberi keupayaan kepada rakyat mempertimbangkan antara yang baik dan buruk, khususnya dalam kekeliruan ekoran peralihan nilai-nilai yang diterima pakai oleh manusia sejagat.

``Umpamanya jika dulu kesetiaan kepada bangsa dan negara iaitu patriotisme tidak dipersoalkan, hari ini pendapat bahawa bekerjasama dengan orang asing untuk memburukkan negara adalah usaha baik dan kononnya mencerminkan kesetiaan kepada negara. Jika pendapat seperti ini diterima maka penderhakaan akan menjadi mulia dan ini akan mendedahkan negara kepada penguasaan atau dominasi oleh bangsa asing,'' tegasnya.

Selaras tema Hari Guru tahun ini iaitu `Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama', Perdana Menteri menyarankan para guru dan warga pendidik menambah ilmu pengetahuan serta melibatkan diri dalam wacana keilmuan di peringkat lebih tinggi.

Bagi kerajaan, katanya, setiap tahun peluang pendidikan pasca ijazah kepada guru dan warga pendidik Kementerian Pendidikan diperluaskan.

Menurut beliau, ini bertujuan mewujudkan komuniti intelek yang diharapkan dapat mengemukakan idea yang bernas dan menyumbang ke arah pembentukan warga dunia yang berketrampilan di abad ke-21.

Perdana Menteri menegaskan guru perlu memiliki keupayaan berfikir serta menilai di antara yang baik dan buruk supaya kebolehan itu dapat disemai dan dikembangkan di kalangan murid yang bakal menjadi pemimpin masa depan.

Dr. Mahathir menyedari untuk memperbaiki pencapaian dan memulihkan prestasi masyarakat yang tidak begitu menyenangkan memerlukan perubahan sikap dan budaya mereka.

``Untuk melakukan ini guru yang bertanggungjawab terpaksa menghadapi banyak fitnah dan tohmahan. Mereka akan dituduh mengutamakan dunia lebih dari akhirat walaupun agama Islam jelas menghendaki umatnya mengimbangi dunia dengan akhirat,'' katanya.

Dalam hal ini, Perdana Menteri mengingatkan balasan di akhirat datang daripada amalan yang dilakukan manusia di dunia.

``Jika kerana mengabaikan tanggungjawab di dunia umat Islam menjadi lemah dan ditindas, maka tempat mereka di akhirat belum tentu syurga,'' katanya.

Menurut beliau, pendapat bahawa kerajaan sekarang tidak Islam tidak harus timbul kerana semua pelajaran yang diajar di sekolah dan universiti adalah ilmu yang diperlukan bahkan diwajibkan oleh agama Islam.

``Semua ilmu ini diperlukan untuk memaju, mempertahan dan menyelamatkan umat Islam. Kerana umat Islam mengabaikan ilmu inilah orang Islam mudah ditindas dan dibunuh oleh musuh Islam,'' katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata, tuduhan bahawa kerajaan terlalu mengutamakan dunia adalah fitnah yang harus ditolak dan perkara seperti ini perlu diberi perhatian dan diperjelaskan oleh para guru bagi memastikan masa depan rakyat lebih berkesan dan positif.

Dr. Mahathir menyeru guru menyediakan diri melakukan perubahan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka demi agama, bangsa dan negara.

Sungguhpun beliau mengakui tidak adil jika tanggungjawab membekal ilmu dan membentuk peribadi individu diserah segalanya kepada guru, Dr. Mahathir berkata, kepercayaan itulah yang memartabatkan profesion perguruan.

Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum