Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

RM148j biayai latihan guru

MELAKA 16 Mei - Pelbagai program latihan jangka pendek dan jangka panjang termasuk penghantaran guru-guru mengikuti ijazah lanjutan peringkat kedoktoran luar negara disediakan dengan peruntukan RM148 juta pada tahun ini.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad memberitahu penghantaran guru-guru ke luar negara itu meliputi bidang-bidang kritikal seperti sains, teknikal dan bahasa Inggeris.

``Bagi kursus jangka pendek pula, ia turut membabitkan 150,000 orang guru yang dijangka dapat mengikuti kursus berkaitan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi,'' katanya ketika berucap pada sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di sini, malam ini.

Acara sambutan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Musa, sejajar dengan usaha menyediakan pendidikan berkualiti di sekolah menengah dan sekali gus menaikkan martabat guru-guru di peringkat tersebut, kementerian meningkatkan usaha untuk mencapai sasaran 100 peratus guru siswazah di sekolah berkenaan menjelang tahun 2005.

Kata beliau, galakan dan insentif lebih menarik diperkenalkan kepada guru-guru bukan siswazah yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama.

Antara kemudahan yang disediakan ialah pembiayaan yuran pengajian dan cuti belajar bergaji penuh bagi mereka mengikuti bidang-bidang pengajian yang masih mengalami kekurangan guru di sekolah-sekolah khususnya bindang sains, teknikal dan bahasa Inggeris.

Musa berkata, menjelang 2010 dianggarkan seramai 81,500 guru bukan siswazah lepasan diploma dapat disiswazahkan melalui pelbagai saluran termasuk Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) dan saluran biasa yang dikendalikan oleh Unit Pusat Universiti.

Sementara itu, kata beliau, seramai 13,019 orang guru telah mendapat nikmat daripada sistem kenaikan pangkat mengikut tempoh masa sehingga kini.

Beliau menjelaskan kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan amat prihatin dan peka terhadap usaha berterusan untuk memartabatkan profesion perguruan menerusi pelbagai kemudahan dan insentif yang disediakan.

Langkah tersebut untuk menjadikan kerjaya perguruan lebih menarik dan mendapat pengiktirafan sewajarnya.

``Sistem kenaikan pangkat melalui konsep guru cemerlang, pengetua cemerlang dan kenaikan pangkat berasaskan tempoh masa berjaya membuka laluan menegak kepada lebih ramai guru siswazah dan guru lepasan diploma,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum