Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Duta negara diarah dekati pelajar


DR. MAHATHIR Mohamad bersalam dengan salah seorang peserta Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia di luar negara di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mahu duta Malaysia di luar negara memperhebatkan usaha mendekati pelajar bagi mengelakkan mereka `diganggu' oleh pihak tertentu dari negara ini.

Menurut Perdana Menteri, ketua-ketua perwakilan itu perlu memainkan peranan aktif menjelaskan dasar-dasar kerajaan yang kurang difahami pelajar setelah mereka termakan hasutan golongan terbabit.

Justeru, tegas beliau, menerusi pendekatan ini, semua duta perlu lebih kerap bertemu dengan para pelajar di negara berkenaan dan menerangkan perkara sebenar yang berlaku di tanah air.

``Pelajar kita di luar negara tidak berapa mahu berurusan dengan duta sebab ada orang lain yang datang dari Malaysia kacau dia.

``Bagaimanapun, saya fikir duta sudah buat banyak kerja (mendampingi pelajar) dan sekarang mereka sedang mengambil peranan aktif ke arah itu,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia di luar negara di sini hari ini.

Persidangan enam hari itu disertai oleh 86 ketua perwakilan melibatkan Duta, Pesuruhjaya Tinggi, Konsul Besar, Konsul dan Kuasa Usaha.

Dalam persidangan itu, Perdana Menteri turut berdialog dengan mereka mengenai dasar semasa kerajaan serta memperoleh maklum balas tentang pandangan negara asing terhadap Malaysia.

Menurut Dr. Mahathir, berbanding Malaysia, negara lain tidak memberi perhatian serius terhadap hal ehwal pelajar mereka di seberang laut.

Malah, katanya, cuma Malaysia sahaja yang mempunyai Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan jumlah kakitangan mencukupi bagi menjaga kebajikan mereka.

``Namun demikian, kerana ada hasutan pihak lain, pelajar menggerakkan sikap antikerajaan,'' katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri yakin duta Malaysia boleh memperhebatkan usaha mendekati pelajar sambil memberi contoh komitmen tinggi Pesuruhjaya Malaysia di London ke arah itu.

Mengulas sesi dialog dalam persidangan itu, Dr. Mahathir berkata, ketua perwakilan termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ingin mengetahui dasar semasa kerajaan terhadap negara mereka bertugas.

``Ada nak tahu hubungan kita dengan kerajaan Amerika Syarikat yang baru serta dasar kita dengan China dan Rusia,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau turut menerangkan mengenai dasar Malaysia yang kini lebih aktif di arena antarabangsa berbanding pada peringkat awal merdeka.

``Dulu, lebih kurang kita ikut dasar Barat tetapi sekarang ini dasar kita bebas.

``Kita berpendapat, kita berhak menyokong ataupun mengkritik di mana perlu sebagai sebuah negara bebas. Kita tidak terikat dengan mana-mana pihak,'' katanya.

Beliau turut menerima maklum balas positif negara asing terhadap Malaysia yang disampaikan oleh ketua perwakilan berkenaan.

``Umumnya, negara membangun termasuk China menyokong Malaysia dan mereka menyanjung tinggi peranan yang dimainkan oleh kita.

``Tetapi sesetengah negara besar, mereka tak begitu senang hati dengan kita,'' katanya.

Mengenai prestasi diplomat Malaysia dalam mengharungi cabaran dalam dua atau tiga tahun ini, beliau berkata:

``Mereka melakukan tugas dengan baik sebab itu kita rasa mereka perlu mengekalkan kedudukan (potensi) ini dan pada masa yang sama meneruskan polisi kerajaan yang ditentukan''.

Oleh: ZULKIFLI JALIL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum