Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

Guru sebelum merdeka antara 5 terima anugerah

MELAKA 16 Mei - Seorang bekas guru yang mengajar sejak negara belum mencapai kemerdekaan sehingga hujung tahun 70-an, Robert David merupakan seorang daripada lima penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2001.

Empat tokoh guru yang lain ialah Mohamed Saat Bongkek, Abang Hamdan Jas, Siti Aishah Ab. Rahman dan Sulaiman Samad.

Masing-masing menerima pingat emas bernilai RM2,000, cenderamata dan sijil yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sempena Hari Guru peringkat kebangsaan yang berlangsung di sini, malam ini.

Mereka dipilih berdasarkan perkhidmatan cemerlang di bilik darjah, sumbangan cemerlang di dalam profesion perguruan di samping aktif di dalam kegiatan kemasyarakatan.

Selain Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan, beberapa anugerah lain turut disampaikan oleh Dr. Mahathir dalam majlis tersebut.

Anugerah-anugerah berkenaan ialah Guru Cemerlang Pendidikan Khas kepada Gwendeline Entika Joseph, Anugerah Sekolah Harapan Negara (bandar dan luar bandar), Guru Inovatif dan pemenang peraduan menulis cerita kanak-kanak bahasa Melayu dan Inggeris.

Sementara itu, Robert David, 79, dari Bukit Mertajam berkata, banyak jurang perbezaan dalam cabaran yang di alami antara guru sebelum merdeka dan selepas merdeka.

Beliau yang mengajar sejak tahun 1946 sebelum bersara pada tahun 1978 berkata, guru-guru sebelum negara merdeka begitu dihormati dan dipatuhi oleh murid-murid dan ibu bapa.

``Ibu bapa zaman dahulu akan memukul anak-anak jika diberitahu mereka dipukul oleh guru di sekolah tetapi ibu bapa sekarang akan membuat aduan dan memarahi guru jika anak-anak mereka dipukul,'' katanya.

Berikutan itu, katanya, guru sekarang perlu lebih berdedikasi dan berdisiplin agar mereka dihormati oleh anak-anak murid.

``Bagaimana guru-guru membawa perwatakan diri mereka adalah penting jika mereka mahu mendisiplinkan pelajar,'' kata bapa kepada lima orang anak.

Siti Aishah, 57, yang juga Tokoh Guru Kelantan 2000 pula melahirkan rasa syukur diberi pengiktirafan tersebut yang merupakan penghargaan tertinggi bagi guru di negara ini.

``Pengiktirafan ini bukanlah kejayaan saya seorang tetapi bagi semua guru yang pernah bertugas bersama saya,'' katanya yang banyak terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan selepas bersara sejak dua tahun lalu.

Beliau turut menasihatkan guru-guru masa kini supaya mempunyai aspirasi yang tinggi dalam memajukan bidang pendidikan dengan mempelbagaikan motivasi untuk pelajar mencapai kecemerlangan.

``Guru-guru juga mesti mempunyai daya kreatif dan inovasi dalam mendekati pelajar mereka supaya potensi mereka dapat dicungkil dan dikembangkan,'' katanya yang merupakan Tokoh Wanita Kelantan 1997.

Sulaiman, 64, turut bersyukur dengan anugerah tersebut yang dianggap sebagai penghargaan kepada dirinya sepanjang bertugas selama 38 tahun di dalam profesion perguruan.

Menurutnya, penghargaan ini diterimanya hasil daripada kerjasama dan bantuan yang diterima daripada kakitangan, guru-guru dan murid-murid sekolah.

``Kejayaan ini adalah kejayaan mereka bersama kerana bagi saya jika kita ke depan, ada orang yang menolak dari belakang dan jika kita naik, mesti ada orang yang mengangkat,'' katanya.

Bapa kepada enam orang anak yang kesemuanya bergelar siswazah itu berkata, semasa bertugas sebagai seorang pengetua, dia perlu bersikap tegas, sentiasa memberi kesedaran dan tidak angkuh kepada kakitangan mahupun murid-murid.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum