Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Kementerian setuju beli semua 12 bangunan kolej

KUALA LUMPUR 17 Mei - Kementerian Pendidikan bersetuju untuk membeli semua 12 bangunan kolej yang sedang dibina berikutan keputusan kabinet semalam yang mahu isu tuntutan bayaran kemajuan pembinaan projek itu diselesaikan.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berkata, soal pembayaran untuk 11 kontraktor yang terbabit dalam pembinaan bangunan tersebut akan diselesaikan tidak lama lagi dan Kolej Komuniti akan memulakan pengambilan pelajarnya pada 12 Jun ini.

``Surat tawaran (kepada kontraktor) akan dikeluarkan untuk mereka. Soal pembayaran akan beres, saya harap perkara ini akan dapat diselesaikan dan memuaskan semua pihak.

``Jadi, saya anggap isu ini selesai,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementeriannya di sini hari ini.

Isu kolej itu dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembina Kolej Komuniti, Bahari Abdullah apabila mendakwa Kementerian Pendidikan gagal membuat bayaran kemajuan sedangkan kerja pembinaan telah dilaksanakan.

Pada sidang akhbar di Seremban 11 Mei lalu Bahari berkata, bayaran kemajuan RM75 juta itu meliputi bayaran syarikat perunding, pembelian bangunan dan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan berdasarkan kepada spesifikasi kementerian.

Mengulas lanjut, Musa mengakui, Kementerian Pendidikan sebelum ini menghantar surat hasrat (Letter of Intent) kepada kontraktor berkenaan bagi membeli bangunan yang kebanyakan sudah siap atau hampir siap untuk dijadikan Kolej Komuniti.

``Kementerian Pendidikan memang berniat untuk membeli bangunan itu dan tetapi ia bukannya satu tawaran untuk membeli. Apabila kita keluarkan surat tawaran baru kita mengesahkan untuk membeli bangunan itu,'' katanya.

Beliau berkata, pada asalnya bangunan-bangunan tersebut bukan dibina untuk tujuan Kolej Komuniti, sebaliknya ia adalah bangunan rumah kedai yang dibina untuk tujuan lain. ``Kita berniat untuk membelinya apabila perancangan Kolej Komuniti hendak dimulakan. Adalah tidak benar kita yang meminta pemaju membina bangunan itu dari mulanya,'' kata beliau.

Menurutnya, kabinet bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan untuk membeli dan mengubah suai projek rumah kedai itu untuk dijadikan Kolej Komuniti.

Sehubungan itu, jelasnya, kekeliruan yang timbul sebelum ini adalah berpunca daripada salah tafsiran di antara surat niat dan surat tawaran.

Beliau berkata, pengambilan pelajar kolej itu yang akan beroperasi di 10 kawasan Parlimen akan dimulakan pada bulan depan dengan kemasukan 694 pelajar sementara dua lagi akan beroperasi Disember ini.

Pemaju berkenaan, katanya, dijangka dapat menyiapkan kerja pengubahsuaian premis itu secepat mungkin supaya ia dapat digunakan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan kini dalam proses mengenal pasti 50 lagi tapak untuk Kolej Komuniti di seluruh negara dan pembinaanya dijangka dapat dimulakan penghujung tahun ini dan akan beroperasi pada tahun 2003.

Katanya, antara kursus yang ditawarkan ialah Pelukis Pelan Seni Bina, Sistem Komputer dan Sokongan, Teknologi Elektrik, Animasi, Teknologi Pembuatan Bersepadu, Automotif, Penyelenggaraan Bangunan, Fesyen dan Pakaian.

Oleh: ROSNI HASSAN dan AKMAR HISHAM MOKHLES

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum