Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Kesatuan guru sokong gesaan PM

KUALA LUMPUR 17 Mei - Badan dan kesatuan yang berkaitan dengan bidang pendidikan menyambut baik gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya guru bersikap profesional dan melaksanakan dasar kerajaan serta tidak membelakangkan agenda negara.

Mereka menyifatkan imej profesion perguruan yang selama ini dipandang mulia akan tercemar sekiranya guru mempunyai agenda lain dan tidak menumpukan kepada tugas mendidik anak bangsa.

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Abdul Rahman Daud berkata, walaupun terdapat segelintir guru yang mencampuradukkan profesion perguruan dengan politik, jumlahnya masih kecil.

``Bagaimanapun hanya kerana perbuatan seorang dua, (terlibat dalam politik) masyarakat akan melihat perkara ini seolah-olah ramai guru terlibat dan ini menjejaskan kepercayaan mereka,'' katanya.

Beliau yang juga Presiden Kongres Perkhidmatan Pendidikan (KPP) berkata, sebagai kakitangan kerajaan adalah tidak wajar guru membelakangkan dasar kerajaan apatah lagi mereka diberi tanggungjawab mendidik anak bangsa.

Menurut beliau, guru yang berasa ingin aktif dalam politik, perlu meletakkan jawatan dan memberi tumpuan kepada politik.

Katanya, langkah itu merupakan jalan terbaik bagi mereka mengelakkan bilik darjah digunakan sebagai gelanggang politik.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak, William Ghani Bina pula meminta guru yang mempunyai kecenderungan politik supaya meletakkan jawatan dan bertanding dalam pilihan raya.

Beliau berkata, guru sepatutnya tidak mencampuradukkan kerjaya perguruan dengan politik pada masa yang sama.

Katanya, sebagai kakitangan kerajaan, mereka mempunyai dua peranan besar iaitu memastikan tanggungjawab sebagai jentera kerajaan berjalan lancar dan pada masa yang sama memberi didikan kepada pelajar.

Presiden Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM), Muhammad Mustapha turut meminta guru menumpukan perhatian kepada profesion mereka dan tidak mencampuradukkan dengan politik.

Kata beliau, mereka yang mempunyai pendirian politik, tidak boleh menonjolkan diri sebagai penyokong mana-mana parti tetapi sekiranya ingin bergiat aktif, perlu meletakkan jawatan secara beransur-ansur.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Datuk N. Siva Subramaniam turut bersetuju dengan ingatan Perdana Menteri itu supaya guru lebih menumpukan tanggungjawab mereka sebagai pendidik.

Oleh: LAUPA JUNUS

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum