Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Pencapaian kokurikulum kelebihan ke IPTA dikaji

KUALA LUMPUR 17 Mei - Tan Sri Musa Mohamad berkata, Kementerian Pendidikan mengkaji untuk memasukkan kriteria pencapaian kokurikulum sebagai kelebihan dalam pemilihan pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai tahun depan.

Beliau berkata, pihak kementerian akan meneliti pandangan supaya pencapaian kokurikulum dijadikan ukuran membuat pilihan bagi pelajar yang mendapat markah sama dalam pencapaian akademik.

``Kita akan teliti perkara ini dan menimbangkan pandangan pelbagai pihak,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementeriannya di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kriteria pemilihan pelajar ke IPTA yang mana pada masa ini pemilihan pelajar dibuat berdasarkan pengiraan merit 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum.

Dalam perkembangan lain, katanya, pihak kementerian akan melaksanakan beberapa langkah segera bagi meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Katanya, di antara langkah yang akan diambil ialah pendekatan kemahiran dan ujian berperingkat bahasa Inggeris yang perlu dilalui oleh pelajar sebelum mereka menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

``Melalui pendekatan ini, pelajar mulai Tahap 1 perlu belajar bahasa Inggeris melalui modul tertentu yang ditetapkan dan perlu dihabiskan terlebih dahulu. Ini akan memudahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris'' katanya.

Ini bermakna para pelajar yang menduduki Tahap 2 tidak semestinya mereka mempelajari modul bahasa Inggeris untuk Tahap 2 sebaliknya ia bergantung kepada pencapaian mereka.

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan akan meluaskan peluang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dalam menyiapkan tugasan, latihan, kerja projek dan aktiviti kokurikulum.

Bagi meningkatkan kualiti pengajaran, katanya, kementerian akan melaksanakan program khas peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru bahasa Inggeris dan program khas sokongan dan bimbingan profesional bagi guru di kawasan pedalaman.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum