Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Mingguan Malaysia 20 Mei 2001

Usah cetuskan isu perkauman

KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamed hari ini menegur akhbar-akhbar tempatan terutama akhbar berbahasa Cina supaya tidak memainkan isu yang boleh mencetuskan sentimen perkauman.

Beliau berkata pada masa ini macam menjadi satu amalan oleh akhbar terutama akhbar berbahasa Cina menyiarkan berita yang menyentuh sentimen perkauman sehingga boleh menggugat perpaduan.

Beliau menyarankan supaya akhbar tempatan menumpukan kepada perkara yang boleh membina masyarakat dan perpaduan dan tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh mencetuskan perkauman.

Musa berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan aset Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Kolej Universiti Terengganu (KUT) di kolej itu di sini hari ini. UPM diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya Datuk Ramly Ahmad manakala KUT oleh Pengerusi Lembaga Pengarahnya Datuk Dr. Abdul Latiff Awang.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Persatuan Bahasa Cina Universiti Sains Malaysia (USM) bahawa Naib Canselor universiti itu mengamalkan sikap pilih kasih dalam menangani isu perbahasan bahasa Cina antara persatuan itu dengan Universiti Nanyang Singapura.

Sebuah akhbar bahasa Cina hari ini melaporkan bahawa Pengerusi persatuan itu, Lee Yen Ting mendakwa USM mengamalkan sikap pilih kasih dalam menangani isu perbahasan antara persatuan itu dengan Universiti Nanyang Singapura.

Lee mendakwa persatuan itu telah menghantar permohonan kepada Naib Canselor USM dua bulan lepas tetapi USM hanya bersetuju berunding dengan persatuan berhubung perkara itu minggu depan sedangkan perbahasan itu akan diadakan pada 20 Mei ini.

Musa berkata dakwaan itu ada berbunyi perkauman dan kementerian menegah keras pelajar daripada membangkitkan perkara yang berbau perkauman.

Katanya, perkara itu adalah satu isu kecil dan boleh diselesaikan secara perundingan dan bukan dengan membuat tuduhan melulu. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum