Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Mingguan Malaysia 20 Mei 2001

Isu kuota bumiputera: Ingatan TPM kepada DAP

KAJANG 19 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan DAP supaya tidak menjadikan kuota pelajar bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebagai isu perkauman.

Beliau menegaskan, parti pembangkang itu tidak sewajarnya mengeruhkan lagi keadaan dengan menghasut kaum bukan bumiputera dengan mengeksploitasikan isu kuota bumiputera tersebut.

``DAP tidak sepatutnya mencari keuntungan politik dengan menimbulkan suasana tidak baik.

``Mereka tidak wajar menimbulkan rasa iri hati kaum bukan bumiputera terhadap bumiputera,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pertandingan Golf Amal Bersama Timbalan Perdana Menteri anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan DAP yang dikatakan menggunakan isu kuota pelajar bumiputera ke IPTA dalam siri-siri ceramah mereka kepada kaum Cina.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Abdullah menegaskan, pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa supaya parti pembangkang tidak memanipulasi isu tersebut sehingga menjadi isu perkauman.

``Kita tidak mahu ada pihak yang mereka-reka sehingga menjadi hasutan atau ada pihak yang mengungkit-ungkit soal kuota itu,'' tegasnya.

Menurut beliau, kerajaan sedar ada pihak terutama ibu bapa bukan Melayu yang tidak senang hati apabila anak-anak mereka yang cemerlang, gagal mendapat tempat di IPTA.

``Kita prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh pelajar berkenaan,'' jelasnya.

Beliau menarik perhatian, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan kini sedang berusaha menyelesaikan masalah pelajar terbabit.

``Kita mahu sesuatu dilakukan supaya pelajar cemerlang tersebut diberikan keutamaan untuk diberi tempat di IPTA,'' katanya.

Tambahnya, UMNO juga sedang bekerjasama dengan MCA bagi menyelesaikan masalah pelajar Cina cemerlang yang gagal mendapat tempat di IPTA.

Sementara itu, Abdullah meminta Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara menjalankan lebih banyak aktiviti untuk membantu pelajar Melayu di luar negara.

``Mereka perlu mengadakan siri-siri ceramah kepada pelajar di luar negara mengenai dasar yang dijalankan oleh kerajaan,'' jelasnya.

Oleh: YUSRI SAHAT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum